Isnin, 9 September 2019 | 9:00am
SWEET tidak mahu kisah percintaan membayangi usaha Adam membina tapak kukuh sebagai pelakon. Foto Mahzir Mat Isa
SWEET tidak mahu kisah percintaan membayangi usaha Adam membina tapak kukuh sebagai pelakon. Foto Mahzir Mat Isa

Bahagia bukan untuk ditayang - Sweet Qismina

KUALA LUMPUR: Pelawaan menemani ketika menghadiri acara kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, tahun lalu, tanpa diduga memutikkan perasaan cinta dalam hati pelakon, Sweet Qismina dan Adam Lee.

Ia bermula apabila Sweet, 22, mempelawa Adam menemaninya menghadiri acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu selepas selesai penggambaran drama, Adam Chempaka.

“Sebelum ini, selama dua bulan, kami bertemu hampir setiap hari di lokasi penggambaran drama itu. Biarpun membawa watak utama, hubungan kami tidak terlalu rapat dan lebih banyak berbual mengenai kerja.

“Apabila Adam bersetuju menemani saya ke ABPBH 31, kami mula bertukar nombor telefon dan semakin rapat apabila kerap berbual. Memang pada mulanya, saya bimbang jika ia akan menimbul gosip cinta.

“Tetapi, apabila difikirkan semula kami perlu melakukan promosi Adam Chempaka, ia masa terbaik untuk saya memperkenalkan Adam yang menjadi gandingan dalam drama itu. Tidak sangka pula, malam itu menjadi titik permulaan yang mengikat perasaan kami,” katanya.

Mengakui sedang diulit bahagia, Sweet bagaimanapun, tidak mahu kisah cinta mereka terlalu digembar-gemburkan. Paling utama katanya, dia perlu menjaga air muka ibunya yang turut bertindak sebagai pengurus.

“Setiap kali sebelum memuat naik gambar berdua, saya akan meminta kebenaran mama terlebih dahulu. Mama cuma menasihatkan, jika kami sudah bersedia, buat sajalah...

“Kami semakin rapat ketika mempromosikan Adam Chempaka, Ramadan lalu. Untuk mempromosikan drama itu, saya mencipta ayat manis yang membuai emosi dan tidak sangka, peminat memberikan reaksi positif.

“Melihat penerimaan peminat, saya dan Adam terfikir untuk berterus terang sahaja mengenai hubungan kami. Ia masa terbaik untuk kami menjelaskan perasaan sebenar.

“Alhamdulillah, ramai peminat menyokong kami. Sebelum ini, kami masih membuat peminat berteka-teki,” katanya.

Ditanya perancangan masa depan, Sweet berkata, buat masa ini, dia mahu memberikan fokus pada kerjaya dan pengajian yang masih berbaki tiga semester.

“Kami lebih banyak berbincang soal kerja dan masa depan. Tipu jika kami tidak berbincang soal perancangan berkahwin, tetapi biar takdir yang menentukannya. Kami ikut aturan Allah.

“Jika tiada jodoh sekali pun, saya dan Adam tetap menjadi kawan baik. Itu janji kami. Tidak perlu nanti kami memuat naik pelbagai status di laman sosial hanya kerana sakit hati apabila harapan tidak menjadi kenyataan. Jodoh kita sudah ditetapkan.

“Itu juga menjadi antara faktor mengapa saya dan Adam tidak terlalu menunjuk-nunjuk kebahagiaan. Kami tahu akibatnya jika berlebih-lebihan. Saya perlu hormati Adam yang masih mencari hala tuju dan platform kukuh, walaupun sudah enam tahun menjadi pelakon,” katanya.

Sweet berkata, dia juga tidak mahu hubungan mereka menjadi halangan untuk Adam mengejar impian kerana percaya, masa depan lebih penting.

“Sekiranya ada halangan, saya sedia undur diri,” kata gadis yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baharu Wanita Popular, ABPBH 3.0 itu.

Berita Harian X