Selasa, 10 September 2019 | 6:00pm
AZHAN berjaya menakluk puncak Gunung Kala Patthar setinggi 5,550m dari aras laut. Foto Ihsan Azhan Rani

'Ustaz Hamadi' tawan Everest Base Camp, Gunung Kala Patthar

GORAK SHEP (Nepal): Dramatis terkenal, Azhan Rani melunaskan impian sejak tiga tahun lalu, apabila berjaya menjejakkan kaki ke Everest Base Camp (EBC) berketinggian 5,364 meter (m) dari aras laut, di sini jam 10.20 pagi waktu tempatan (12.05 tengah hari).

Azhan, 43, yang popular dengan watak Ustaz Hamadi menerusi drama Nur menawan EBC bersama-sama 26 pendaki lain, termasuk lima pengamal media tempatan dan enam pendaki dari Brunei.

Selain EBC, Azhan yang sedang mempromosi telefilem khas, Rise To Power yang akan disiarkan di iflix bermula 19 September ini turut menawan puncak Gunung Kala Patthar setinggi 5,550m dari aras laut.

“Kejayaan ini dianggap sebagai mimpi yang menjadi kenyataan. Ia adalah pencapaian yang besar dalam hidup saya kerana saya tidak pernah berada pada ketinggian melebihi 5,000 meter dari aras laut.

“Saya hampir mengalah ketika dalam perjalanan menuju ke Lobuche dan Gorak Shep sebelum berjaya menawan Gunung Kala Phattar serta EBC.

“Saya turut mengalami simptom awal penyakit akut gunung atau altitude mountain sickness (AMS) seperti badan menjadi lemah dan kepala berasa pening.

“Namun, berkat sokongan dan motivasi rakan pendaki lain, saya kerah segala sisa tenaga yang ada dan kuatkan mental untuk melawan penyakit itu.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan sependakian yang banyak memberikan sokongan moral dan mental untuk saya merealisasikan impian ini,” katanya.


AZHAN puas dapat melunaskan impian yang tersimpan sejak tiga tahun lalu. Foto Ihsan Azhan Rani

Azhan berkata, kejayaan itu juga diharap menjadi pendorong buat rakan-rakan lain yang berminat dengan dunia pendakian untuk meneroka lebih banyak lagi keindahan puncak dunia, seterusnya membawa nama Malaysia di mata dunia.

Selain misi mengibarkan jalur gemilang, pendakian itu juga adalah sebahagian promosi telefilem Rise to Power yang juga prekuel siri KL Gangster Underworld.


Bersama wartawan BH yang turut menyertai ekspedisi bersama 26 pendaki lain. Foto Ihsan Azhan Rani

Azhan juga berkata, kejayaan itu cukup bermakna kerana ia dilakukan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 pada 31 Ogos lalu dan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Ekspedisi pendakian anjuran Summit Attack Resources (SAR) yang diketuai Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa itu menggalas cabaran mengibar Jalur Gemilang gergasi setinggi enam meter dan 12 meter lebar serta berat 11 kilogram di EBC.

Berita Harian X