Jumaat, 13 September 2019 | 4:19pm
PENYANYI, Siti Nordiana, tidak sanggup berpura-pura hanya untuk memuaskan hati orang lain. - NSTP/Surianie Mohd Hanif
PENYANYI, Siti Nordiana, tidak sanggup berpura-pura hanya untuk memuaskan hati orang lain. - NSTP/Surianie Mohd Hanif

'Soal hati tak boleh dipaksa'

KUALA LUMPUR: “Tidak tahu apa yang membuatkan peminat nampak kami serasi kerana saya melayan Khai (Bahar) sama seperti orang lain. Tiada yang istimewa.

“Kami pula memang bersahaja apabila bertemu dan tidak pandai berlakon semata-mata untuk menunjukkan kemesraan. Apa yang peminat lihat, itulah saya dan Khai yang sebenar,” kata Siti Nordiana atau mesra disapa Nana.

Kembali disatukan dalam drama arahan Hadith Omar, Satukan Rasa, yang bakal memulakan penggambaran pada 16 September ini, Nana berkata, dia memahami harapan peminat yang ingin melihat mereka menjalin hubungan istimewa.

Namun, soal hati dan perasaan, akui Nana, bukan perkara yang boleh dipaksa, malah dia tidak sanggup berpura-pura hanya kerana mahu memuaskan hati orang lain.

“Saya tidak berani cakap soal jodoh dan masa depan. Iyalah, saya tidak tahu siapa jodoh saya. Jadi, saya hanya minta semua pihak mendoakan yang terbaik.

“Saya tidak perlu marah dengan harapan peminat kerana itu bermakna mereka sayangkan kami berdua. Lagipun, saya dan Khai sudah faham perangai masing-masing,” katanya.

KHAI Bahar dan Siti Nordiana bakal berlakon bersama dalam drama berjudul Satukan Rasa. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
KHAI Bahar dan Siti Nordiana bakal berlakon bersama dalam drama berjudul Satukan Rasa. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Menyentuh gandingan sulung mereka dalam drama terbitan Suhan Movies itu, Nana berkata, dia gembira apabila usaha memujuk Khai untuk berlakon disahut penyanyi terbabit.

“Berbaloi juga kerana akhirnya Khai memberikan persetujuan untuk berlakon. Saya berharap drama ini akan mencatat kejayaan, seperti lagu duet kami yang menggunakan judul sama,” katanya.

Bakal bersaing pada kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Nana menyandar harapan menerusi pencalonan bagi enam kategori iaitu Penyanyi Wanita Popular DuitNow, Pengacara TV Popular, Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa dan Artis Versatil Popular.

Nana juga dicalonkan dalam kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular (bersama Alif Satar) dan Lagu Paling Boom (Hatiku Milikmu).

Malam kemuncak ABPBH 32 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September ini.

Berita Harian X