Sabtu, 14 September 2019 | 6:41pm
PELAKON dan model, Haneesya Hanee. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Haneesya teruja jumpa peminat sempena #FANtastik ABPBH 32

PUNCAK ALAM: Pelakon dan model, Haneesya Hanee, menjadikan acara #FANtastik dan Showcase Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 di Eco Grandeur, di sini, sebagai medan perhimpunan dengan kelab peminatnya, Haneesya Tropeers.

Katanya, dia tidak menyangka mempunyai kelompok peminat setia yang menyokong permulaan kerjayanya hingga berpeluang mara sebagai finalis kategori Artis Baharu Wanita Popular.

“Haneesya Tropeers sebenarnya ditubuhkan secara rasmi sebaik sahaja saya diumumkan membolosi senarai Top 5 ABPBH 32, baru-baru ini, dengan lebih 200 ahli.

“Jumlah itu boleh dikatakan agak besar, memandangkan ada dalam kalangan peminat di luar ibu kota yang belum mendaftar, namun tetap memberikan sokongan.

"Saya sangat teruja, hari ini, kerana dapat berkumpul dengan Haneesya Tropeers buat kali pertama dan paling seronok, kami dapat bersama-sama menyahut cabaran dalam setiap aktiviti.

"FANtastik dan Showcase ABPBH 32 menjadi pembuka jalan untuk menyemarakkan lagi aktiviti kelab peminat saya seterusnya," katanya ketika ditemui selepas pertandingan zumba pada acara berkenaan, di sini.


CALON Top 5 ABPBH 32, Haneesya Hanee, bersama peminat di booth BH pada acara #FANtastik Santai Bersama Peminat dan Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam. - NSTP/Aziah Azmee

#FANtastik dan Showcase ABPBH 32 adalah siri jelajah ketiga ABPBH 32 yang bakal mencapai kemuncaknya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, 22 September ini.

Sebelum ini, siri jelajah ABPBH 32 singgah di Komtar JBCC, Johor dan Aman Central, Alor Setar, Kedah.

Berita Harian X