Isnin, 16 September 2019 | 9:00am
KUALA LUMPUR 11 SEPTEMBER 2019. Artis tanahair, Datuk Jamal Abdillah sempena pelancaran single duet mereka "Belenggu Rindu". NSTP/SUPIAN AHMAD

'Boleh duet, rakam lain-lain'

KUALA LUMPUR: Penghibur Datuk Jamal Abdillah sedia berpadu suara dengan mana-mana penyanyi dengan syarat proses rakaman dibuat berasingan.

Jamal berkata, penyanyi yang pernah bekerjasama dengannya tahu beliau perlu melakukannya sendirian bagi memberi tumpuan penuh kepada proses itu.

“Sebagai manusia biasa, saya ada kelemahan. Jadi, untuk memberi fokus, saya hanya mahu penerbit atau jurutera bunyi yang berada di studio.

“Apabila ada orang lain, tumpuan kita boleh tersasar. Usahkan wakil media, rakan duet juga saya minta rakam vokal berasingan.

“Sama juga keadaannya ketika saya berpadu suara dengan Datuk M Nasir, Datuk Hattan, Francisca Peter dan Siti Sarah dahulu,” katanya kepada BH Online.

Terbaru, Jamal tampil dengan lagu duet bersama Wany Hasrita berjudul Belenggu Rindu.

Menceritakan kerjasama itu, Jamal berkata, Wany mengundangnya merakamkan lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu.

Akui penyanyi bervokal emas itu, selepas hampir lapan tahun tidak merakamkan lagu dengan kali terakhir menghasilkan single berjudul Rayuan Maut, beliau masih berdebar.

Namun, Jamal yakin dengan keistimewaan lagu itu yang disifatkan universal dan mempunyai tarikan terhadap golongan muda.

Klip video rasmi lagu itu yang dimuat naik di YouTube meraih sejuta tontonan dalam tempoh lima hari pertama.

Berita Harian X