Selasa, 17 September 2019 | 9:00am
WANY berhasrat dapat berguru dengan anak seni berpengalaman sebelum kembali berlakon. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
WANY berhasrat dapat berguru dengan anak seni berpengalaman sebelum kembali berlakon. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Lakonan bukan jiwa Wany Hasrita

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Wany Hasrita mengakui, pernah berdepan gangguan emosi gara-gara membintangi sebuah telefilem yang disiarkan pada musim Syawal lalu.

Wany berkata, biarpun melakonkan watak sendiri, dia menyedari bidang lakonan bukan jiwanya kerana sepanjang seminggu penggambaran drama itu berlangsung, dirinya tidak keruan.

“Saya tabik kepada pelakon yang mampu menumpukan sepenuh perhatian selama berhari-hari di set penggambaran. Lebih membuat saya kagum, mereka mampu menjiwai watak tanpa berdepan sebarang masalah.

“Apabila melalui pengalaman itu sendiri ketika berada di lokasi penggambaran, baru saya tahu, berlakon sebenarnya tidak mudah. Ia menuntut kesabaran dan semangat yang tinggi.

“Sepanjang seminggu penggambaran, saya jadi tidak keruan, biarpun saya menjadi diri sendiri. Mungkin kerana tidak biasa, keadaan itu sedikit sebanyak mempengaruhi emosi,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Menahan Rindu itu berkata, hatinya tergerak untuk menceburi dunia lakonan selepas mendengar pengalaman beberapa rakannya seperti Amira Othman.

“Saya kagum kerana Amira berani membawa watak berat dan banyak bermain dengan emosi. Mungkin kerana lakonan bukan jiwa, emosi saya jadi tidak menentu. Berilah sedikit masa untuk saya mencari kekuatan sebelum kembali berlakon,” katanya.

Wany berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single duet bersama Datuk Jamal Abdillah, Belenggu Rindu, baru-baru ini.

Penyanyi yang baru pulang mengerjakan ibadat haji itu berkata, perasaan itu hadir barangkali disebabkan dia kurang ilmu lakonan.

Katanya, dia berhasrat mengikuti kelas asas lakonan, selain menimba ilmu daripada mereka yang lebih berpengalaman sekiranya nanti hatinya terbuka untuk kembali berlakon.

“Saya perlu bersedia dari segi mental dan fizikal kalau mahu berlakon lagi. Cuma, bukan sekarang kerana seni lakon memerlukan kesabaran, kesungguhan dan minat yang mendalam.

“Seronok melihat hasil lakonan anak seni lain, malah pengalaman menjayakan telefilem itu membuatkan saya lebih menghargai naskhah yang dihasilkan, sama ada untuk siaran televisyen atau layar perak,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman berduet dengan Jamal, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu berkata, kolaborasi mereka menjadi antara impian dalam kerjaya nyanyiannya.

“Saya selalu mengikuti perkembangan Datuk (Jamal), selain masih ingat pengalaman pertama bertemu ketika menjayakan persembahan di kolej, tempat saya belajar dahulu.

“Selepas menjadi artis, saya pernah beberapa kali berkongsi pentas dengannya. Peluang berduet dengan penyanyi yang dianggap sebagai Raja Pop itu saya sifatkan, umpama impian jadi kenyataan,” kongsinya.

Pada ABPBH 32, Wany kembali berada dalam senarai finalis kategori Penyanyi Wanita Popular DuitNow bersama-sama Aishah, Siti Nordiana, Stacy dan Ara Johari.

Berita Harian X