Selasa, 17 September 2019 | 11:05am
HAQIEM mengakui rapat dengan model kelahiran Australia yang hanya diperkenalkan sebagai R. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
HAQIEM mengakui rapat dengan model kelahiran Australia yang hanya diperkenalkan sebagai R. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

'R hanya teman rapat, bukan kekasih'

KUALA LUMPUR: “Dia sekadar teman rapat, bukan kekasih,” demikian penjelasan penyanyi, Haqiem Rusli ketika mengulas mengenai hubungannya dengan model kelahiran Australia berusia 16 tahun yang hanya diperkenalkan sebagai R.

Penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Tergantung Sepi itu berkata, mereka mula berkenalan ketika dia menjayakan persembahan di Sydney, dua tahun lalu apabila gadis itu mahu merakamkan gambar kenangan bersamanya.

“Kami sekali lagi bertemu apabila R dipilih sebagai model video muzik lagu Selamat Tinggal Sayang yang menjalani penggambaran di situ. R beragama Islam dan bapanya warga Australia, manakala ibunya pula dari Singapura.

“Dia antara rakan wanita yang rapat dengan saya sehingga hari ini. Saya jarang berkawan dengan wanita, sebaliknya mempunyai lebih ramai rakan lelaki,” katanya.

Haqiem atau nama sebenarnya, Ridzuan Haqiem Rusli, 21, berkata, dia selesa berkawan dengan R kerana kematangan gadis itu.

“Biarpun timbul gosip kononnya R kekasih saya, kami hanya berkawan baik. Lagipun, dia masih bersekolah dan saya juga ada kehidupan peribadi yang perlu dihormati. Kalau memang kami ditakdirkan bertemu jodoh, ia tidak akan ke mana.

“Saya sukakan gadis ringkas, tidak keterlaluan dan manis dipandang mata. Saya lebih selesa memilih gadis biasa dan bukan selebriti,” katanya yang sibuk dengan persiapan Konsert Mini Haqiem Rusli di Forest Village Hall pada 4 Oktober ini.

Penyanyi kelahiran Hulu Langat, Selangor itu menembusi senarai Top 5 kategori Penyanyi Lelaki Popular DuitNow, Artis Sensasi Popular dan Lagu Paling Boom (Selamat Tinggal Sayang), Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 yang mendekati kemuncaknya pada 22 September ini.

“Saya bersyukur berjaya membolosi senarai Top 5 ABPBH 32 menerusi tiga kategori. Paling saya terkejut apabila nama tersenarai dalam kategori Artis Sensasi Popular.

“Kehidupan peribadi saya dilanda pelbagai ujian hingga saya dilabel sebagai artis kontroversi dan sensasi, tahun lalu. Saya tidak minta semua itu berlaku.

“Cuma, saya sebolehnya mahu mengelak daripada dihimpit kontroversi lagi. Cukuplah, saya sudah serik dan tidak mahu pening kepala.

“Secara jujur, sukar untuk saya menjangkakan kemenangan dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular DuitNow kerana bersaing dengan nama besar seperti Faizal Tahir, Khai Bahar, Sufian Suhaimi dan Syafiq Farhain. Berada dalam senarai lima popular sudah membuat saya bersyukur,” katanya.

Berita Harian X