Selasa, 17 September 2019 | 1:02pm
WINNIE masih mempertimbang tawaran daripada syarikat pengurusan artis yang bertapak di China. Foto Mahzir Mat Isa
WINNIE masih mempertimbang tawaran daripada syarikat pengurusan artis yang bertapak di China. Foto Mahzir Mat Isa

Demi ibu, Winnie K belum beri kata putus

PUNCAK ALAM: Penyanyi, Winnie K, masih mempertimbang tawaran bernaung di bawah sebuah syarikat pengurusan artis di Beijing, China yang diterima sejak tiga tahun lalu kerana perlu mendahulukan kebajikan ibunya.

Sebagai anak bongsu daripada tiga bersaudara dan belum berumah tangga, Winnie, 37, berkata sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan ibunya sentiasa berteman, memandangkan dua kakaknya sudah berkeluarga.

Katanya, sejak dahulu, dia kerap mengadakan persembahan di luar negara, termasuk China dan Australia dengan membawakan pelbagai lagu, termasuk lagu Melayu.

Melihat potensi yang ada pada Winnie, pihak di sana berminat menjadikan penyanyi yang popular dengan lagu Kau Ada Di Mana itu sebagai artis residen.

“Boleh dikatakan kerap juga saya diundang ke sana hingga sebuah syarikat pengurusan artis mempelawa saya bernaung di bawah mereka.

“Walaupun sudah tiga tahun saya belum memberikan jawapan, mereka tetap sabar menunggu. Selepas kakak berkahwin, emak tinggal bersama saya. Mereka bagaimanapun, tetap bergilir menemani emak kalau saya dapat undangan pentas ke luar negara.

“Saya pula akan pastikan dapat pulang segera sebaik kerja selesai. Jika mengikat kontrak dengan syarikat luar, bermakna saya perlu bermastautin di sana. Perkara itu membuatkan saya belum memberi kata putus.

“Mereka juga tidak memaksa, sebaliknya masih memberi saya masa untuk membuat keputusan,” katanya ketika ditemui selepas majlis #FANtastik dan Showcase ABPBH 32, Sabtu lalu.

AKSI lincah Winnie ketika menyanyikan lagu Kau Ada Di Mana pada acara #FANtastik dan Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Sabtu lalu. Foto Mahzir Mat Isa
AKSI lincah Winnie ketika menyanyikan lagu Kau Ada Di Mana pada acara #FANtastik dan Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Sabtu lalu. Foto Mahzir Mat Isa

Sementara itu, berkongsi perkembangan kerjaya, Winnie kini dalam proses merakamkan album khas untuk Tahun Baharu Cina yang memuatkan satu lagu baharu ciptaannya, selain lima judul popular yang dinyanyikan semula.

“Sejak 19 tahun lalu, setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, saya pasti diundang stesen televisyen untuk program khas. Saya banyak menyanyikan lagu popular penyanyi lain. Jadi, kenapa tidak saya hasilkan lagu sendiri?

“Tahun depan, buat kali pertama, saya akan membawakan lagu sendiri dan ia memberi lebih makna kerana direalisasikan selepas 20 tahun saya dikenali sebagai penyanyi. Semua ini juga disebabkan dorongan peminat menerusi komen di laman sosial.

“Selepas album khas itu disempurnakan, saya akan kembali ke studio merakamkan single Melayu karya Awi Rafael yang sememangnya sudah lama saya nantikan,” katanya yang pernah merakamkan album Melayu, Kau Ada Di Mana pada 2008.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X