Selasa, 17 September 2019 | 3:35pm
ZARA dan Azlee disatukan semula dalam drama Seadanya Aku. Foto IG Zara Zya
ZARA dan Azlee disatukan semula dalam drama Seadanya Aku. Foto IG Zara Zya

Zara Zya teruja kembali berganding dengan Azlee Khairi

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zara Zya berharap, gandingan terbarunya bersama Azlee Khairi menerusi drama, Seadanya Aku bakal mengembalikan nostalgia yang pernah dilakar mereka menerusi Love You Mr Arrogant.

Zara berkata, dia teruja apabila peminat memberikan reaksi positif sejak mendapat tahu Azlee kembali menyemarakkan dunia lakonan selepas empat tahun menyepikan diri.

“Biarpun sudah hampir enam tahun berlalu, peminat masih terkesan dengan gandingan kami dalam Love You Mr Arrogant. Malah, ramai yang menaruh harapan untuk melihat kami kembali digandingkan.

“Saya gembira dengan keputusan Azlee untuk kembali berlakon. Harapnya gandingan terbaru ini dapat mengubat kerinduan peminat yang berharap kami kembali bersatu di skrin televisyen,” katanya.

Menerusi drama arahan Feroz Kader dan terbitan Country Universal Sdn Bhd itu, Zara memegang watak Fiya, manakala Azlee menggalas peranan sebagai Zarul yang juga kawan baik tunangnya. Ia bakal disiarkan menerusi slot Akasia di TV3.

Dalam Love You Mr Arrogant yang disiarkan pada akhir 2013, Zara mencetus fenomena tersendiri menerusi watak Zaara Aminah apabila meraih pelbagai pencapaian, selain memahat kukuh namanya sebaris bintang popular lain.

“Love You Mr Arrogant membuka pintu rezeki buat saya apabila meraih pelbagai anugerah. Malah, gandingan kami turut memberikan impak apabila memenangi kategori online, Gandingan Serasi Di Layar pada kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-27, selain Hero & Heroin Pilihan, Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2014.

“Drama itu juga melonjakkan populariti saya hingga dinobatkan sebagai Artis Baharu Wanita Popular, ABPBH 2013, selain Anugerah MeleTOP ERA 2014 menerusi kategori Pelakon Baharu dan Top Top Meletop (Wanita),” katanya.

Berita Harian X