Selasa, 17 September 2019 | 4:56pm
ARSLAN diberi penghormatan sebagai penyampai trofi pada kemuncak ABPBH 32, Ahad ini. Foto IG Arslan Butt

Pentas ABPBH 32 ruang Arslan perkenal nama

KUALA LUMPUR: Pelakon kacak kelahiran Pakistan, Arslan Asad Butt menyifatkan, kemunculannya di pentas Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Ahad ini sebagai ruang terbaik memperkenalkan nama.

Arslan, 26, yang juga pelakon utama drama, Sara Sajeeda yang bakal disiarkan menerusi slot Samarinda di TV3 antara barisan selebriti terpilih menyerikan acara kemuncak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu sebagai penyampai trofi.

“Saya teruja dan berbesar hati menerima penghormatan itu, tambahan pula, nama saya masih belum dikenali di Malaysia. Sudah pasti, saya berbangga menjadi sebahagian daripada acara bersejarah itu.

“Lebih membuatkan saya teruja apabila dimaklumkan, ABPBH 32 turut menghimpunkan penggiat seni pelbagai bidang, selain menjadi antara acara hiburan paling lama bertahan di sana.

“Peluang berharga itu tidak akan saya lepaskan, malah ia juga menjadi ruang saya memperkenalkan diri kepada penggiat seni lain,” katanya yang akan tiba di ibu negara sehari sebelum acara berlangsung.

Arslan berkata, selain memenuhi jemputan ABPBH 32, dia juga dalam rangka mempromosikan drama yang menggandingkannya bersama Tiz Zaqyah dan rakan seperjuangan di Pakistan, Anmol Baloch.


ARSLAN bersama Tiz Zaqyah ketika penggambaran drama Sara Sajeeda. Foto IG Arslan Butt

Menerusi drama itu, Arslan memegang watak utama sebagai Fawwad Khan yang dianggapnya, mencabar kemampuan sebagai pelakon.

“Saya bertuah diberi peluang memperkenalkan bakat di negara asing. Berlakon di sisi Tiz juga sangat menyeronokkan.

“Biarpun latar belakang budaya dan bahasa berbeza, Tiz memiliki karakter tersendiri yang memudahkan kami bekerjasama. Dia sangat membantu dalam mencipta keserasian ketika di lokasi penggambaran,” katanya.

Menerusi drama itu, Arslan turut dituntut menguasai asas bahasa Melayu kerana perlu bertutur menggunakan medium itu.

“Sara Sajaeeda banyak membuka mata saya terhadap perkara baharu. Saya seronok setiap kali di lokasi penggambaran dan jika ada peluang berlakon lagi di negara ini, saya tidak kisah untuk terus mendalami bahasa Melayu,” katanya.

Arslan bermula sebagai model ketika masih menuntut, seterusnya mengatur langkah dalam bidang lakonan sejak enam tahun lalu.

Berita Harian X