Rabu, 18 September 2019 | 11:05am
MIMI bangga menjadi artis pertama bernaung di bawah pengurusan Siti Nordiana. Foto Aziah Azmee
MIMI bangga menjadi artis pertama bernaung di bawah pengurusan Siti Nordiana. Foto Aziah Azmee

Mimi Manan bangga jadi anak didik Siti Nordiana

KUALA LUMPUR: Meskipun tidak terpilih menjadi protege Siti Nordiana atau Nana pada pentas program Mentor 7, tahun lalu, bakat baharu, Mimi Manan tidak berputus asa mengejar impian dalam bidang seni.

Tidak pernah dia menyangka, ‘jodohnya’ bersama Nana begitu kuat apabila ditawarkan menjadi artis pertama bernaung di bawah Siti Nordiana Soul Entertainment, sejak April lalu.

Pemilik nama penuh Nurshamimi Manan, 19, itu menyifatkan, tawaran yang diberikan Nana sebagai peluang keemasan yang begitu dinanti-nantikan.

“Saya tidak ambil masa lama untuk menyatakan persetujuan kerana peluang ini memang saya tunggu. Selepas Mentor 7, kak Nana ada menasihatkan saya supaya tidak berhenti mengasah bakat.

“Dia turut memberitahu, sekiranya ada rezeki, mahu mengambil saya sebagai artis naungan. Saya bagaimanapun, tidak begitu berharap. Apatah lagi, saya masih menuntut di Universiti Kuala Lumpur.

“Saya sangat berterima kasih pada Siti Nordiana Soul Entertainment kerana mempercayai bakat saya. Kalau bukan kerana mereka, mungkin saya tidak mempunyai keyakinan tampil dengan lagu sendiri,” katanya yang mempertaruhkan single pertama, Bila Berjauhan.

Berbicara mengenai single ciptaan Aizat Amdan, Mel Ramlan dan Nana itu, Mimi berkata, sebagai penyanyi yang masih kurang pengalaman, agak sukar untuk dia menjiwai lagu itu.

Namun, selepas mendapat asuhan daripada penyanyi Hatiku Milikmu itu, dia perlahan-lahan mula mendapat rentak.

“Lirik lagu ini ditulis sendiri kak Nana. Dia banyak memberikan tunjuk ajar, terutama dari segi penghayatan. Pada peringkat awal, agak sukar sebenarnya. Tetapi, berkat tunjuk ajar daripadanya, saya perlahan-lahan mula menguasai lagu itu.

“Bukan mudah bersaing dengan penyanyi baharu lain, jadi kak Nana banyak memberikan nasihat, terutama dari kualiti vokal. Kak Nana sangat tegas mengenai vokal,” katanya.

Mimi yang berasal dari Ampang, Selangor meluahkan perasaan syukur apabila impian membina nama dalam bidang seni turut mendapat sokongan ibu dan bapanya.

“Saya menghadiri uji bakat Mentor 7 dahulu hanya untuk mencuba nasib dan tidak menaruh harapan tinggi. Alhamdulillah, nampaknya ada juga rezeki saya dalam bidang ini.

“Kalau dikurniakan rezeki yang lebih, saya mahu memberi keselesaan kepada ibu dan bapa,” katanya.

Berita Harian X