Rabu, 18 September 2019 | 3:32pm
HAMPIR dua dekad berlakon, Emelda masih laris dengan pelbagai tawaran yang mencabar kemampuan. Foto Syakirah Azhar

Bukti bakat Emelda masih relevan

KUALA LUMPUR: Meskipun dunia lakonan dibanjiri kehadiran bakat baharu, Emelda Rosmila bersyukur, namanya masih relevan apabila dihujani pelbagai tawaran sejak kembali aktif, hampir dua tahun lalu.

Pernah beberapa tahun memperlahankan rentak untuk memberi perhatian penuh pada perniagaan, Emelda tidak menyangka, bakatnya masih dipercayai apabila sering diajukan pelbagai watak mengesankan.

“Saya kembali aktif sejak September 2017 dan drama Kekasih Paksa Rela menjadi titik permulaan pengarah melihat kemampuan saya mempelbagaikan karakter.

“Selagi ada yang mempercayai bakat, saya akan terus berusaha memberikan yang terbaik. Sebagai pelakon senior, saya lebih menitikberatkan keberkesanan sesuatu karakter.

“Mungkin saya tidak banyak berlakon, tetapi saya puas kerana setiap kemunculan meninggalkan impak tersendiri kepada penonton,” katanya yang sudah hampir dua dekad membina reputasi sebagai pelakon.

Emelda berkata, dia masih terkesan dengan pujian yang diterima menerusi watak Fara yang dibawakan dalam drama arahan Amor Rizan, Hilang Yang Kembali.

Dalam produksi yang disiarkan menerusi slot Samarinda di TV3, bulan lalu itu, Emelda melakonkan watak berat sebagai wanita yang berdepan gangguan mental.

“Siapa yang tidak suka jika lakonan mereka dipuji? Saya hargai kata positif peminat, malah ia menyuntik motivasi untuk saya terus melipatgandakan usaha.

“Pujian bagaimanapun, tidak sesekali membuatkan saya lupa bumi yang dipijak. Insya-Allah, jika ada rezeki membintangi naskhah hebat lain, saya akan jadikannya sebagai ruang memperbaiki kelemahan dan mempertingkatkan mutu persembahan,” katanya.

Berita Harian X