Jumaat, 20 September 2019 | 9:00am
KELAS lakonan bersama Zulhuzaimy beri keyakinan untuk Khai Bahar mencuba cabang seni baharu. Foto Khairul Azhar Ahmad

Anggap Satukan Rasa lakonan pertama dan terakhir

KUALA LUMPUR: Kesempatan mengikuti kelas lakonan bersama pelakon berkarakter, Zulhuzaimy memberi keyakinan kepada penyanyi, Khai Bahar mencabar diri meneroka cabang seni baharu.

Mengakui agak gementar ketika melangkah ke set penggambaran drama arahan Hadith Omar, Satukan Rasa bermula 18 September lalu, Khai mengakui, ilmu yang dikutip sepanjang kelas lakonan banyak membantunya merealisasikan watak diamanahkan.

“Banyak yang saya dalami sepanjang mengikuti kelas, terutama bagaimana membangkitkan emosi dalam sesuatu watak. Saya akui, agak lemah pada aspek itu memandangkan masih hijau dalam bidang lakonan.

“Saya juga menonton drama Korea dan belajar bagaimana pelakonnya memberikan penghayatan serta emosi. Untuk membakar semangat, saya anggap drama ini lakonan pertama dan terakhir saya.

“Hanya itu cara saya mendorong diri memberikan lakonan terbaik. Sebelum ini, saya kurang pasti dengan keputusan menceburi dunia lakonan, apatah lagi saya sentiasa sibuk dengan aktiviti nyanyian,” katanya.

SELEPAS lagu duet, Khai dan Siti Nordiana kembali bersatu dalam drama, Satukan Rasa. Foto IG Siti Nordiana

Dipertemukan dengan rakan duetnya dalam lagu yang menggunakan judul sama, Siti Nordiana, Khai berkata, keakraban mereka membuatkan dia tidak kekok di lokasi penggambaran.

“Kami memang serasi kerana sudah mengenali antara satu sama lain. Saya terima tawaran ini kerana dia. Jika ditawarkan bergandingan dengan pelakon lain, mungkin saya perlu memikirkannya banyak kali,” katanya yang pernah membuat penampilan istimewa dalam drama adaptasi, Cinta Tiada Ganti.

Diusik soalan andai hubungan baik mereka itu bertukar menjadi cinta di alam realiti, apatah lagi, peminat turut merestui gandingan mereka, Khai enggan memikirkan perkara itu terlalu jauh.

“Dalam hidup ini, kita tidak mampu memuaskan hati semua pihak. Malah, tidak semua yang kita harapkan akan menjadi kenyataan. Secara jujur, saya selesa berkawan dengan Nana (Siti Nordiana) yang sudah saya anggap seperti kakak sendiri.

“Soal hari hadapan, saya tidak pernah tahu. Begitu juga dalam urusan jodoh kerana semuanya sudah tertulis. Apa juga yang berlaku dalam hidup kami nanti, sama ada baik atau sebaliknya, saya tetap akan berkawan dengannya, insya-Allah,” katanya.

Menyentuh Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Khai yang kembali bersaing dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular DuitNow, selain kategori online, Artis Duo Popular dan Lagu Paling Boom enggan menaruh harapan tinggi.

Meskipun sudah dua tahun berturut-turut mengungguli trofi Penyanyi Lelaki Popular, Khai berkata, kesungguhan peminat, terutama ahli kelab, Khai Bahar Empire (KBE) membuatkan dia terharu.

“Apa yang saya miliki dan raih selama ini adalah berkat sokongan peminat serta KBE. Saya amat hargai sokongan padu mereka. Soal menang atau tidak, itu semua bergantung kepada rezeki.

“Saya percaya peminat sudah bersedia dengan apa sahaja kemungkinan, tambahan pula persaingan kali ini agak sengit kerana setiap finalis mempunyai kekuatan tersendiri,” kata penyanyi lagu Luluh itu.

Berita Harian X