Jumaat, 20 September 2019 | 8:48pm
Persiapan pentas menjelang malam kemuncak ABPBH 32 di PICC Putrajaya. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Zizan Razak (kiri) dan Ismail Izzani pada sesi latihan menjelang malam kemuncak ABPBH 32 di PICC Putrajaya. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Persiapan pentas menjelang malam kemuncak ABPBH 32 di PICC Putrajaya. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Persiapan pentas menjelang malam kemuncak ABPBH 32 di PICC Putrajaya. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Teknologi Augmented Reality semarakkan malam kemuncak ABPBH 32

PUTRAJAYA: Penggunaan teknologi Augmented Reality (AR) bakal menyemarakkan lagi segmen persembahan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad ini.

Penambahbaikan dari segi teknikal pada segmen yang turut menjadi perhatian ramai itu, selain keputusan 20 kategori dipertandingkan kali ini, dilakukan bagi memberikan kepuasan maksimum kepada penonton.

Pengurus Hiburan Primeworks Studios, Muhammad Sufian Isa, berkata pasukan produksi berusaha memastikan sajian hiburan dipersembahkan pada edisi ke-32 acara anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu diingati khalayak.

"Kami sudah melakukan persiapan sejak seminggu lalu dan hari ini, kita cuma memperbaiki atau melakukan kerja penambahbaikan, terutama dari segi teknikal.

“Menerusi segmen persembahan nanti, kami akan turut menggunakan teknologi Augmented Reality (AR), iaitu imej dalam bentuk grafik yang seolah-olah hidup.

"Imej grafik terbabit bagaimanapun hanya boleh disaksikan penonton di rumah. Teknologi itu juga pernah kami manfaatkan pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu 33 dan ia nyata memberi impak hebat dari segi visual," katanya kepada BH Online.

Sufian berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan malam kemuncak anugerah anjuran akhbar BH itu, di sini, hari ini.

Menurutnya, segala persiapan berjalan lancar dan beliau percaya, acara kemuncak bakal berlangsung dalam suasana penuh gemilang.

Kumpulan De Fam pada sesi latihan menjelang malam kemuncak ABPBH 32 di PICC Putrajaya. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Sementara itu, mengulas gandingan pengacara yang akan mengendalikan acara terbabit, Sufian yakin pengalaman dimiliki Datuk AC Mizal dan Elly Mazlein memberi kelebihan kepada mereka untuk menggalas tanggungjawab itu dengan sebaiknya.

"Sepanjang sesi perbincangan mengenai skrip, kedua-duanya saling berkongsi idea bagi memantapkan lagi persembahan. Walaupun AC dan Elly belum pernah digandingkan bersama, sebelum ini, keserasian antara mereka nyata terserlah.

"Kami turut menggalakkan kedua-duanya berinteraksi dengan penonton serta peminat pada acara sebenar nanti. Saya percaya, keupayaan mereka sebagai pengacara mampu memberikan sesuatu yang terbaik kepada penonton," katanya.

Zizan Razak pada sesi latihan persembahan ABPBH 32 di Banglonine, Seksyen 12, Petaling Jaya, baru-baru ini. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Antara artis yang terbabit dalam sesi latihan bersama pemuzik di bawah bimbingan Faizal Uzir atau Lok U ialah Ernie Zakri, Liza Hanim, Idayu, Ismail Izzani, Zizan Razak, Stacy, De Fam, Andi Bernadee, Ariff Bahran, Hazama, Akim & The Majistret.

Seramai 200 warga kerja terbabit dalam kerja penerbitan bagi memastikan kelancaran acara berkenaan.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X