X
Sabtu, 21 September 2019 | 11:15am
CALON Top 5 kategori Penyanyi Lelaki Popular DuitNow, ABPBH 32, Haqiem Rusli. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
CALON Top 5 kategori Penyanyi Lelaki Popular DuitNow, ABPBH 32, Haqiem Rusli. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Khai pencabar terkuat - Haqiem Rusli

KUALA LUMPUR: Bintang muda, Haqiem Rusli, menyifatkan Khai Bahar sebagai pesaing utama dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular DuitNow, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.

Kata penyanyi yang turut dikenali sebagai komposer itu, pencapaian Khai sejak beberapa tahun lalu membuktikan pengaruhnya dalam kalangan peminat cukup besar.

Selain mereka, kategori berkenaan turut menyaksikan persaingan daripada Sufian Suhaimi, Syafiq Farhain dan artis berpengalaman, Faizal Tahir.

“Khai memenangi kategori itu selama dua kali berturut-turut, sejak ABPBH 3.0. Jadi, pengaruhnya memang tidak dapat dinafikan.

“Bagaimanapun, saingan daripada calon Top 5 lain juga usah dipandang sebelah mata kerana masing-masing mempunyai pengikut sendiri. Cuma, rasanya Khai memiliki kelompok penyokong lebih besar.

“Jadi, saya tidak mahu meletakkan harapan tinggi untuk menang pada malam penentuan, esok. Disenaraikan antara lima paling popular sudah cukup bermakna buat saya,” katanya yang turut dicalonkan dalam kategori online, Artis Sensasi Popular dan Lagu Paling Boom (Selamat Tinggal Sayang).

Kata Haqiem, 21, dia percaya pada rezeki dan jika kemenangan berpihak kepadanya, ia dianggap sebagai bonus.

“Apa yang lebih utama, saya sangat menghargai sokongan peminat yang menggelarkan diri mereka sebagai Qiemilio,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, penyanyi yang baru sahaja muncul dengan single Lembah Kesepian itu teruja untuk menjayakan konsert mini sulungnya di Forest Valley Hall, Cheras, di sini, pada 4 Oktober depan.

“Saya akan menyanyikan 12 lagu pada konsert mini berkenaan.

“Pada awalnya, persembahan itu mahu dinamakan Malam Akustik dan diadakan pada skala kecil sahaja, tetapi kita ubah kepada konsert mini selepas mendapat permintaan tinggi daripada peminat,” katanya.

Berita Harian X