Sabtu, 21 September 2019 | 9:00pm
PENYANYI, Sufian Suhaimi, ketika menjayakan latihan sempena malam kemuncak ABPBH 32 di PICC, Putrajaya. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

ABPBH 32: Sufian gementar nyanyi 'lagu Korea'

PUTRAJAYA: Penyanyi, Sufian Suhaimi, mendedahkan perlu menyanyikan beberapa rangkap lagunya dalam bahasa Korea apabila menjayakan segmen persembahan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, esok.

Kata bintang cukup dikenali dengan lagu Di Matamu itu, walaupun mendendangkan lagu sendiri, cabaran berkenaan tetap membuatkannya gementar.

“Pada malam kemuncak ABPBH 32 esok, saya akan muncul di pentas bersama artis K-pop yang masih dirahsiakan identitinya. Kami akan bergandingan menyanyikan lagu saya dalam dua versi, Melayu dan Korea.

“Artis K-pop terbabit akan menyanyikan lagu yang dialihbahasakan itu, namun saya dimaklumkan turut perlu menyanyikan beberapa rangkap dalam bahasa Korea. Begitu juga dengan artis K-pop itu yang akan turut menyanyi dalam bahasa Melayu,” katanya ketika ditemui sewaktu menjayakan sesi latihan malam kemuncak, di sini, hari ini.


SUFIAN akui berdebar untuk mengadakan persembahan di hadapan ramai peminat K-pop, pada malam kemuncak ABPBH 32, esok. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Calon Top 5 ABPBH 32 dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular DuitNow dan Lagu Paling Boom itu berkata, sememangnya ia bukan tugasan mudah untuknya.

"Saya tidak tahu berbahasa Korea. Walaupun hanya perlu menyanyikan beberapa rangkap, saya tetap bimbang. Lagipun masa yang ada terlalu singkat, mujurlah artis Korea itu banyak membantu.

"Saya tidak mahu membuat kesilapan dari segi sebutan mahupun penghayatan kerana saya tahu, peminat lagu dan drama Korea terlalu ramai di Malaysia. Disebabkan mempunyai kelompok peminat tersendiri, kategori Artis Korea Popular turut diwujudkan dalam ABPBH 32.

"Jadi, tentunya ramai peminat K-pop menantikan persembahan ditampilkan pada malam kemuncak ABPBH kali ini," katanya.

Sufian berkata, dia tidak berdepan masalah mendapatkan keserasian bersama artis Korea itu.

"Ketika kami bertemu buat julung kali, Khamis lalu, bagi menjayakan sesi latihan pertama, saya terkejut apabila dimaklumkan artis itu mengikuti perkembangan muzik dan kerjaya saya.

“Saya seperti tidak percaya diminati artis asing. Ia tentunya penghargaan manis buat saya,” katanya.


ALIF dan SonaOne akan turut menghangatkan malam kemuncak ABPBH 32 di PICC. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Bakal berlangsung di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), segmen persembahan malam kemuncak anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu menghimpunkan artis sensasi baharu dan lama, yang pasti menghangatkan lagi acara.

Selain mereka, ia juga dimeriahkan dengan kemunculan Aishah, Liza Hanim, Zizan Razak, Ismail Izzani, Zamaera, SonaOne, Alif, Ernie Zakri, Idayu, Ariff Bahran, Andi Bernadee, Hazama, Akim & The Majistret, De Fam dan Stacy.

Acara kemuncak ABPBH 32 akan disiarkan secara langsung menerusi TV3, mulai jam 9 malam.


Tenaga kreatif belakang tabir malam kemuncak ABPBH 32. - NSTP/Rosela Ismail

Berita Harian X