Selasa, 24 September 2019 | 9:05am
YUNA berharap langkahnya mencipta nama di pasaran antarabangsa menjadi inspirasi kepada insan seni lain. Foto Rohanis Shukri

Nak berjaya di luar, mental kena kuat - Yuna

KUALA LUMPUR: Lapan tahun merantau mencari rezeki di bumi asing, penyanyi tempatan yang mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna mengakui, perjalanan itu menuntutnya memiliki jiwa dan semangat yang kental kerana cabarannya sangat besar.

Yuna berkata, pada permulaan, terlalu banyak perkara yang bermain di fikirannya dan jika tidak kuat semangat, barangkali dia sudah berputus asa.

“Saya perlu ubah diri supaya menerima budaya orang lain, tanpa sebarang prejudis. Perasaan hormat pada budaya dan kepercayaan orang lain harus diamalkan, tanpa perlu mengorbankan pegangan serta jati diri kita.

“Apabila semua itu ada dalam diri, mudah untuk kita meneruskan survival di bumi asing,” kata graduan jurusan Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu, mengimbau detik awal memulakan langkah di AS.

Yuna mengakui, pada awal, agak sukar untuk dia menawan hati masyarakat di sana, namun tiada sekelumit perasaan putus asa bersarang di jiwa penyanyi berusia 32 tahun itu.

Baginya, perkara itu adalah asam garam yang perlu diharungi perantau seni, namun usaha tanpa mengenal putus asa membuatkan peluang demi peluang baharu hadir.

“Saya percaya, setiap individu mempunyai tempatnya yang tersendiri. Apabila peminat sanggup membayar tiket menyaksikan persembahan atau membeli muzik saya, ia sudah cukup menggembirakan hati.

“Saya juga pernah berdepan saat sukar apabila tiada tawaran persembahan kerana memberikan fokus pada penciptaan lagu. Tetapi, saya tidak putus asa. Apabila semangat kita kuat, pasti akan ada rezeki yang datang,” kata isteri kepada pengarah video, Adam Yousof Mohamed Sinclair itu.

Mengakui pengalaman dilaluinya sangat berharga, Yuna menyarankan mana-mana artis yang mempunyai keinginan dan kemampuan menempa nama di luar negara supaya meneruskan niat mereka tanpa ragu-ragu.

“Pengalaman adalah guru terbaik. Saya memutuskan untuk berhijrah ke luar negara apabila yakin lagu ciptaan saya boleh diterima di sana.

“Kepada anak seni, jika karya masih belum diterima di negara sendiri, jangan lekas putus asa. Mungkin mereka boleh cuba pasaran Jepun, China atau Eropah. Kita tidak akan tahu selagi tidak mencuba.

“Apabila memilih ke luar negara, itu bukan bermakna kita mengabaikan peluang di tanah air. Sebaliknya, ia bererti kita mahu memberikan sesuatu yang lebih kepada komuniti.

“Ia juga menjadi inspirasi buat insan lain untuk melakukan sesuatu lebih baik dan bermakna,” kata penyanyi yang baru muncul dengan album, Rouge itu.

Pemenang trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2009 dan Penyanyi Wanita Popular ABPBH 2010 serta 2011 itu turut melakar sejarah tersendiri apabila terpilih menyertai agensi model terkenal dunia, Wilhelmina Models, sekali gus mengukuhkan lagi namanya di sana.

Berita Harian X