Selasa, 24 September 2019 | 3:10pm
DRAMA Andainya Takdir membawa tuah kepada Shukri apabila memenangi trofi Pelakon Watak Antagonis Popular, ABPBH 32. Foto Nurul Shafina Jemenon

'Ingatkan Azhan Rani menang'

KUALA LUMPUR: Karakter antagonis bukan sesuatu yang asing bagi pelakon berwibawa, Shukri Yahaya, terutama pada awal kemunculannya dalam bidang lakonan.

Namun, kata Shukri, watak Airil yang dibawanya dalam drama, Andainya Takdir meninggalkan impak tersendiri apabila mengungguli kategori online, Pelakon Watak Antogonis Popular pada kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Ahad lalu.

Mengulas kemenangannya, pelakon yang terlebih dahulu membina reputasi menerusi watak hitam dalam drama Juvana itu berkata, pencapaian itu adalah sesuatu yang di luar jangkaan.

“Saya meramalkan Azhan Rani akan membawa pulang trofi itu, apatah lagi watak Ustaz Hamadi yang dilakonkannya dalam drama Nur dan Nur 2 mencetus fenomena yang tersendiri.

“Saya tidak sangka menang, biarpun Andainya Takdir turut menerima pelbagai komen positif daripada penonton. Secara peribadi, saya melihat karakter yang dibawa Azhan lebih diperkatakan, malah mengundang kebencian penonton.

“Alhamdulillah, ini yang dikatakan rezeki. Mungkin juga ia impak populariti drama itu selepas disiarkan selama dua musim, sekali gus membuatkan penonton lebih terkesan dengan watak yang saya lakonkan,” katanya yang bergandingan dengan Nina Iskandar dalam produksi itu.

Shukri turut mengakui, watak Airil yang panas baran dan kaki pukul isteri memberikan cabaran yang tersendiri.

“Sukar saya percaya menjadi pilihan peminat kerana saya tidak pernah menganggap diri sebagai calon kegemaran untuk membawa pulang kemenangan,” katanya yang sebelum ini merangkul trofi Antagonis Pilihan pada anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018.

Shukri berkata, dia agak terkilan tidak berpeluang hadir pada kemuncak ABPBH 32 lalu kerana terikat dengan penggambaran drama, Pesan Pada Hati yang menemukannya dengan Nabila Razali.

“Memandangkan penggambaran hanya tinggal beberapa hari untuk diselesaikan, kami perlu melunaskan tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin.

“Saya bagaimanapun, menghargai sokongan yang diberikan peminat, malah berterima kasih kepada mereka kerana mempercayai bakat yang ada,” katanya.

Berita Harian X