Khamis, 26 September 2019 | 9:03am
JASMIN mengakui selesa bekerjasama dengan Nabila ketika membintangi drama Pesan Pada Hati. Foto IG Jasmin Hamid

Dia tak diva, pandai bawa diri - Jasmin Hamid

KUALA LUMPUR: Pelakon berpengalaman, Jasmin Hamid memuji sikap dan komitmen yang diberikan penyanyi, Nabila Razali sepanjang penggambaran drama, Pesan Pada Hati.

Jasmin yang sebelum ini pernah menegur segelintir pelakon yang bersikap seperti acuh tidak acuh di lokasi penggambaran mengakui, selesa bekerjasama dengan penyanyi yang popular menerusi lagu Pematah Hati itu.

“Dia pandai membawa diri, walaupun bermula dalam industri hiburan sebagai penyanyi. Dia langsung tidak menunjukkan sikap diva.

“Sebagai pelakon, kami bekerja tidak ubah seperti sebuah keluarga dan perlu bergaul untuk mendapatkan keserasian. Hanya dari situ, baru ada ‘rasa’ apabila berlakon bersama-sama.

“Pelakon tidak boleh buat hal masing-masing kerana nanti apabila masuk set, keras dan kaku. Pelakon perlu jujur dengan watak dan bukan hanya ‘syok sendiri’ kerana menzahirkan karakter tidak memerlukan populariti, sebaliknya keikhlasan.

“Dengan sikap positif yang dimilikinya itu, saya percaya Nabila akan terus berjaya dalam bidang yang diceburi,” katanya.

Sambil menitipkan pesanan, Jasmin juga berharap, sikap rendah diri akan terus dekat dengan jiwa penyanyi lagu Vroom Vroom itu.

Drama bersiri Pesan Pada Hati terbitan Pena Creative Pictures adalah arahan terakhir Allahyarham Raja Ahmad Alauddin yang turut menampilkan Shukri Yahaya dan Chacha Maembong sebagai pelakon utama. Ia bakal disiarkan menerusi slot Lestary di TV3.

Jasmin sebelum ini, menerusi Instagram meluahkan perasaan kesal dengan sikap segelintir pelakon baharu yang terlalu sibuk dengan media sosial di lokasi penggambaran hingga menjejaskan kualiti kerja mereka.

Menerusi entri sama, Jasmin turut menasihatkan pelakon generasi baharu supaya lebih serius dan fokus kepada kerjaya serta tidak terlalu ghairah mengumpul pengikut di media sosial.

Berita Harian X