Khamis, 26 September 2019 | 3:01pm
ELISYA yakin persoalan mengenai kakaknya yang dikatakan sedang hamil akan terjawab apabila tiba masanya. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

'Hamil atau tidak, biar kakak jawab sendiri'

KUALA LUMPUR: “Biar kakak yang umumkan sendiri, namun sebagai adik, sudah pasti saya gembira melihat dia bahagia,” demikian kata pelakon, Elisya Sandha.

Hanya memberikan senyuman penuh makna ketika ditanya mengenai berita kakaknya, Fasha Sandha yang dikatakan sedang hamil, Elisya, 20, berkata, dia yakin persoalan itu akan terjawab apabila tiba masanya.

“Saya yakin, apabila tiba masa yang tepat, pasti dia akan berterus terang. Saya perlu hormati pendiriannya, tambahan pula dengan apa yang terjadi sebelum ini, pasti dia lebih berhati-hati.

“Kakak pernah diuji apabila kandungannya gugur pada Jun lalu, jadi saya faham mengapa dia memilih untuk mengunci mulut apabila ramai yang ingin mendapatkan kepastian. Doakan sahaja yang baik,” katanya.

Elisya yang baru selesai penggambaran drama 80 episod, Puteri Yang Ditukar ditemui pada sidang media Havoc Food Festival, semalam.

FASHA memberi bayangan dirinya sedang hamil apabila memuat naik foto bersama catatan ringkas ‘berlima’ di Instagram, baru-baru ini. Foto IG Fasha Sandha

Terdahulu, isu Fasha kembali hamil mula diperkatakan apabila foto yang dimuat naik isteri pelakon, Aidil Aziz itu di Instagram kebelakangan ini, melihatkan perubahan pada fizikalnya.

Malah, dalam satu foto yang dimuat naik bersama suami dan dua anaknya menerusi laman sosial itu, Fasha seakan-akan memberi bayangan sedang menanti kehadiran orang baharu menerusi catatan ringkas, ‘berlima’.

Terdahulu, Fasha membuat kejutan apabila mengumumkan dia hamil tiga minggu pada 21 Mei lalu, namun keguguran ketika kandungannya memasuki hampir enam minggu.

Sementara itu, mengulas penyertaannya dalam festival makanan yang akan berlangsung selama tiga hari di pekarangan Stadium Malawati Shah Alam bermula 1 November ini, Elisya berkata, ia menjadi langkah permulaan untuk dia menceburi dunia perniagaan.

Berita Harian X