Jumaat, 27 September 2019 | 9:02am
PELAKON, Bella Astillah, ketika menghadiri majlis sidang media Havoc Food Festival di The Gardens, Kuala Lumpur. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Bella sangkal dakwaan jalin hubungan dengan Zizan

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, 25, menyangkal tanggapan kononnya dia kini menjalinkan hubungan istimewa dengan bintang komedi, Zizan Razak.

Sebaliknya, bekas isteri artis kontroversi, Aliff Aziz, itu menegaskan mereka berdua sekadar teman seperjuangan dalam bidang seni.

“Kami sekadar rakan profesional. Kami memang tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa seperti digembar-gemburkan. Saya hadir ke majlis hari lahir ibunya, baru-baru ini, pun kerana saya secara kebetulan berada berdekatan dengan lokasi sambutan acara.

“Seperti ramai peminat sedia maklum, saya dan Zizan digandingkan dalam telefilem, Kerusi Kecil. Itu sahaja. Kami tidak pernah keluar berdua dan saya pula pasti ditemani Mama ataupun Didi Astillah (adik),” katanya.

Gosip mengenai hubungan mereka mula diperkatakan apabila beberapa gambar mesra antara kedua-duanya dikongsi di laman sosial, ketika masing-masing menjalani penggambaran telefilem arahan Ghaz Abu Bakar itu.

Baru-baru ini, Bella turut hadir pada majlis ulang tahun ibu Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu, yang menguatkan lagi spekulasi wujudnya hubungan antara dua artis terbabit.

Ketika ditemui pada sebuah acara di sini, ibu kepada Ayden Adrean ini berkata, dia mengenali Zizan sejak usianya masih remaja.

“Memang sudah lama saya mengenali Zizan. Adik saya pernah menyertai pertandingan yang diacarakan olehnya. Seingat saya, kami berjumpa ketika saya menemani Didi dan umur saya waktu itu baru 14 tahun,” katanya.


BELLA dan Zizan bergandingan dalam telefilem, Kerusi Kecil. - Foto Instagram Bella Astillah

Bella berkata, dia belum terfikir untuk mencari pengganti selepas berpisah dengan Aliff, Mei lalu.

“Saya selesa dulu dengan kehidupan sekarang. Saya mahu menikmati detik ini seindah mungkin.

“Sebelum berkahwin dengan Aliff, saya dan bekas kekasih menjalinkan hubungan selama tujuh tahun. Saya bukan wanita yang mudah menjalinkan hubungan apabila bertemu orang baharu,” kata Bella yang kini dapat disaksikan lakonannya menerusi drama siaran sebuah saluran berbayar berjudul Cinta Belum Tamat Tempoh.

Berita Harian X