Jumaat, 27 September 2019 | 5:53pm
PELAKON, Abby Abadi, bersama suami dan anak mereka pada majlis akikah dan cukur jambul anak pelakon, Lana Nodin di Taman Melawati, Hulu Klang, April lalu. - NSTP/Eizairi Shamsudin
PELAKON, Abby Abadi, bersama suami dan anak mereka pada majlis akikah dan cukur jambul anak pelakon, Lana Nodin di Taman Melawati, Hulu Klang, April lalu. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Abby selamat lahir bayi lelaki

KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan, Abby Abadi, selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan di Hospital Sungai Buloh, Selangor, jam 10.43 pagi tadi.

Suaminya, Faizal Zakaria, berkata buat masa ini kedua-duanya berada dalam keadaan stabil, namun anak mereka perlu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) disebabkan lahir pramatang.

"Alhamdulillah, Allah mempermudahkan segala-galanya. (Bayi lelaki) Selamat dilahirkan pada 10.43 pagi... Cinta saya @abby_abadi112 dalam keadaan stabil. BP (tekanan darah) pun sudah turun.

"Doakan yang terbaik untuk ‘baby’. Sekarang dia berada dalam NICU. Mohon doa sahabat semua untuk Abby dan ‘baby’ ya!” kongsi Faizal menerusi Instagram, hari ini.

Abby atau Arbaiyah Abdul Manan, 41, dimasukkan ke hospital sejak lima hari lalu selepas menghadapi masalah tekanan darah tinggi.

FAIZAL atau Jai Ezzany berkongsi berita kelahiran anaknya menerusi Instagram, beberapa jam lalu. - Foto Instagram Jai Ezzany
FAIZAL atau Jai Ezzany berkongsi berita kelahiran anaknya menerusi Instagram, beberapa jam lalu. - Foto Instagram Jai Ezzany

Pagi tadi, bintang drama bersiri, Gerak Khas, itu dibawa ke dewan bersalin walaupun kandungannya baru memasuki minggu ke-23.

Sebelum ini, Abby yang mendirikan rumah tangga dengan Faizal pada 14 Ogos 2015 mengambil dua anak angkat, Muhammad Daiyan Fayyad dan Maisara Dayana Fathia.

Menerusi perkahwinan sebelum ini pula, aktres itu dikurniakan tiga cahaya mata, Mohamed Danish Hakim, 16, Marissa Dania Hakim, 14 dan Maria Danisha Hakim, 11.

Dua tahun lalu, Abby pernah mengalami keguguran ketika usia kandungannya berusia lima bulan, manakala pada 2016, bayi dikandung meninggal dalam perut gara-gara tekanan darah tinggi.

Berita Harian X