Sabtu, 28 September 2019 | 5:11pm
PELAKON, Memey Suhaiza, turut membantu Abby dalam memastikan keselamatan anak lelakinya yang dilahirkan pramatang, semalam. - Foto Instagram Abby Abadi
PELAKON, Memey Suhaiza, turut membantu Abby dalam memastikan keselamatan anak lelakinya yang dilahirkan pramatang, semalam. - Foto Instagram Abby Abadi

'Doakan Baby D saya'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Abby Abadi, memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan anaknya yang dilahirkan secara pembedahan, semalam.

Bintang siri Gerak Khas berkenaan melahirkan bayi lelaki dipanggil Baby D itu pada jam 10.43 pagi di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Ketika ini, bayi pramatang itu masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) hospital berkenaan.

Dalam perkongsian di Instagram, kira-kira sejam lalu, Abby berkata, selain jururawat, pelakon, Memey Suhaiza, turut membantunya memastikan si kecil dapat minum susu.

“Alhamdulillah... Antara usaha kami, pam susu badan untuk diberikan kepada Baby D. Terima kasih Memey kerana sudi datang tolong. Mey (Memey) turut memberikan sebotol (untuk anak). Saya cuma dapat sedikit, itu pun dengan bantuan jururawat,” kata Abby.

Dia juga memaklumkan, mereka kini mempunyai bekalan susu untuk tempoh seminggu buat si kecil yang hanya mampu minum dalam kuantiti sedikit.

“Doakan Baby D saya. Tidak dapat hendak diceritakan keadaannya kepada umum buat masa ini. Hanya keajaiban yang akan menyelamatkan dia,” luah Abby.

Abby terpaksa melahirkan bayinya itu ketika usia kandungan berusia 24 minggu selepas mengalami ‘turun darah’. Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sejak lima hari lalu selepas berdepan masalah tekanan darah tinggi.

Dua tahun lalu, Abby pernah mengalami keguguran ketika usia kandungannya berusia lima bulan, manakala pada 2016, bayi dikandung meninggal dalam perut gara-gara tekanan darah tinggi.

Abby mendirikan rumah tangga dengan Faizal Zakaria pada 14 Ogos 2015. Selain Baby D, mereka turut mempunyai dua anak angkat, Muhammad Daiyan Fayyad dan Maisara Dayana Fathia.

Berita Harian X