Selasa, 1 Oktober 2019 | 2:26pm
Ezad menasihatkan Mamat berkahwin agar kehidupannya lebih terurus. Foto NSTP Intan Nur Elliana Zakaria

'Kahwin jer lah Mamat...'

KUALA LUMPUR: Prihatin dengan nasib menimpa Mamat, penyanyi Ezad Lazim menyarankan sahabatnya itu berkahwin.

Pernah melalui fasa hidup gelap, Ezad berpendapat, Mamat perlu mempunyai insan yang menyokongnya agar tidak lagi hilang arah.

“Saya beruntung kerana ada isteri yang menjadi sistem sokongan terbesar dalam hidup.

“Tujuh tahun bersama dan dikurniakan dua anak, saya jadi manusia yang lebih bertanggungjawab. Isteri saya adalah pembantu peribadi, pengurus dan bermacam-macam lagi tugas lain dipikulnya.

“Isteri yang memastikan semua urusan kerja dan kehidupan saya teratur,” katanya kepada BH Online.

Ezad mendirikan rumah tangga dengan Nor Azeana Ramli pada 2013. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Puteri Rania Keisha, 6, dan Putra Mohammad Darwish, 3.

Mamat pernah berkahwin dengan Marshila Mustapa Kamal pada 2001 tetapi bercerai pada 2009.

Hasil perkahwinan dengan Marshila, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Aleeya Mysara, 17; Mohd Eiki Daniell, 15, dan Dylea Mysara, 13.

Sabtu lalu, Mamat dan Ezad bersama anggota kumpulan Exists, mengadakan Konsert Reunion Exists 2019 yang mendapat sambutan hangat peminat.

Ezad mengaku mencadangkan Mamat mencari isteri baharu.

“Saya kasihan tengok dia seorang diri. Sekurang-kurangnya, ada orang menjaga makan pakainya.

“Mamat tidak boleh terus hidup bersendirian. Dia ada anak tetapi menetap dengan bekas isterinya. Dia pernah cakap hidupnya kurang kasih sayang.

“Selain itu, Mamat selalu beritahu betapa saya beruntung kerana memiliki keluarga,” katanya.

Ezad atau nama sebenar, Mohd Rohaizad Mohamad Lazim berkata, Mamat tidak boleh dibiarkan hidup sendirian.

“Saya juga pernah terjerumus dengan najis dadah, suatu ketika dahulu. Mereka yang pernah melalui situasi itu perlu diberi sokongan moral berterusan,” katanya.

Tambah Ezad, dia terbuka jika diminta berkongsi pengalaman membabitkan isu najis dadah.

“Saya ambil masa sebelum berani bersuara. Bukan mudah berubah apabila terjebak dengan najis dadah. Sebab itu saya faham dugaan dilalui Mamat. Benda ini tidak mustahil sampai mati akan terkesan.

“Saya ambil kekuatan dan melihat pengalaman itu boleh dikongsi supaya generasi baru dapat menjauhi najis dadah. Alhamdulillah, selepas lebih lima tahun, saya sudah bersih daripada dadah,” katanya.

Ezad berkata, dia sedia menimbang permintaan mana-mana pihak termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) jika ada yang mahu mengundangnya berkongsi pengalaman mengenai najis dadah.

“Saya bukan minta dipuja sebab sudah berjaya menjauhi dadah. Tapi saya mahu lebih ramai buka mata betapa teruknya gejala ini,” katanya.

Ezad ketika ini sibuk mempromosikan single duet bersama Fieza Hanis, Jika Kau Bercinta Lagi, iaitu lagu lama yang diberi nafas baharu.

Berita Harian X