Selasa, 1 Oktober 2019 | 3:00pm
PENYANYI, Naqiu, aktif menyanyi di kelab malam selepas Boboy menyepikan diri daripada dunia muzik. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Boboy tak kesal menyepi

KUALA LUMPUR: Tidak mampu menangani kemasyhuran membuatkan membuatkan Naqiu dan kumpulannya, Boboy, menyepikan diri ketika nama berada di puncak populariti.

Kata Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib, 33, dia tidak ralat berbuat demikian, selepas kelahiran album ketiga, Masih Mencari (2005), sebaliknya lega apabila berpeluang menimba semula ilmu sebelum kembali ke arena seni dengan lebih matang.

“Bayangkan ketika berusia awal belasan tahun, kami sudah memegang duit yang banyak dan dikenali ramai. Namun, ketika itu kami berasa masih ada kekurangan dari segi lain.

“Kami tidak berpecah, tetapi mula melakukan perkara yang diingini. Rakan sekumpulan memilih kerjaya tetap lain, manakala saya terus aktif menyanyi di kelab dan melakukan kerja belakang tabir.

“Tiada apa yang kami kesalkan kerana persahabatan tetap erat, selain kerap juga berjumpa hinggalah ke hari ini,” katanya yang bersama Boboy sejak berusia 13 tahun.

Selain Naqiu, kumpulan yang tampil bersama album pertama berjudul Episod Cinta pada 2000 itu turut ditunjangi Shah (gitar), Muz (gitar), Didie (bes) dan Acik (dram).

Jualan buah tangan pertama Boboy, yang ketika itu sebaris dengan populariti New Boyz, mencecah 30,000 unit.

Sementara itu, di atas sokongan teman sekumpulan, Naqiu menyahut cabaran menyertai Gegar Vaganza musim enam (GV6) walaupun pada asalnya lebih selesa menyanyi di pusat hiburan.

“Sebenarnya, saya berbelah bahagi untuk menyertai pertandingan ini. Bagaimanapun, semua rakan lain memberikan dorongan, membuatkan saya berasakan seperti turut mewakili mereka.

“Peminat Boboy juga memberikan kata-kata semangat dan kerap melayangkan pertanyaan di laman sosial kami berhubung penyertaan dalam program terbabit.

“Berikutan kepercayaan diberikan, saya menggagahkan diri untuk menjayakannya, tambahan pula ia juga demi Boboy. Siapa tahu selepas ini kami akan aktif semula?” katanya yang mengadakan persembahan bersama kumpulannya di Pasir Gudang, Johor, Julai lalu, selepas 10 tahun tidak berbuat demikian.

Selain Episod Cinta dan Masih Mencari, Boboy juga mempunyai sebuah lagi album studio, Antara Remaja Dan Dewasa, yang diterbitkan pada 2003.

Berita Harian X