Rabu, 2 Oktober 2019 | 11:02am
PENYANYI dan komposer, Alif, pada sidang media Def Jam Recordings Malaysia dan Singapura di Publika. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Alif bakal sambut anak kedua

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Alif, berkongsi berita gembira bakal menyambut kelahiran anak kedua apabila isterinya, Azzah Fariha, kini hamil lima bulan.

Biarpun tidak dapat bersama insan tersayang sepanjang masa kerana kerjaya seninya memerlukan dia berasa di ibu negara, Alif bersyukur kerana teknologi membolehkan mereka sentiasa berkomunikasi.

“Alhamdulillah, saya bakal menerima kehadiran cahaya mata kedua kerana isteri kini hamil lima bulan. Saya berharap, semuanya dipermudahkan.

“Biarpun jarak memisahkan, kami menggunakan teknologi tersedia untuk sentiasa berhubung. Semuanya kini berada di hujung jari sahaja.

“Saya mengorak langkah dalam bidang seni pun demi mencari rezeki untuk keluarga. Sekiranya mereka membuka mulut meminta saya untuk pulang, keputusan akan dibuat dengan serta-merta. Restu mereka jugalah yang membuatkan saya kuat sehingga ke hari ini, apatah lagi apabila tinggal bersendirian,” katanya kepada BH Online.

Akui bapa kepada Alana, 3, dia juga bukan seorang yang mempunyai perancangan rapi.

“Apabila teringat ada acara atau majlis penting di sana, barulah kelam kabut saya mencari tiket pulang dan sebagainya. Ia antara perkara yang perlu saya perbaiki pada masa hadapan,” katanya.

Empat tahun bergerak solo, Alif turut mengakui bukan mudah untuknya menyusun jadual dan membahagikan masa antara famili dengan kerjaya.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana mempunyai keluarga yang amat memahami biarpun terpaksa berjauhan.

Alif pernah bergabung dengan sepupunya, Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah, membentuk kumpulan Sleeq sejak 2005. Bagaimanapun, kumpulan duo itu dibubarkan pada 2015.

Sleeq meraih populariti di Malaysia selepas berkolaborasi dengan penyanyi, Najwa Latiff, menerusi lagu Untuk Dia.

Sementara itu, semakin aktif menghasilkan lagu untuk penyanyi lain, Alif berkata, dia membuat keputusan untuk berehat seketika daripada berbuat demikian bagi memberikan perhatian pada kerjaya solonya.

“Menghasilkan muzik adalah sesuatu yang menggembirakan. Saya sendiri tidak menyangka apabila minat terhadap muzik mampu dijadikan sumber pendapatan.

“Begitupun, sesetengah karya dihasilkan itu belum mampu diterima dengan baik, ketika ini. Namun, saya percaya rezeki tetap ada pada masa akan datang.

“Jujurnya, saya rasa seperti tidak berlaku adil dengan diri sendiri kerana lebih meluangkan masa menghasilkan lagu untuk artis lain. Apabila bersendirian, saya terfikir, bagaimana dengan kerjaya solo saya jika keutamaan itu tidak diberikan untuk diri sendiri?” kata Alif.

Berita Harian X