Khamis, 3 Oktober 2019 | 11:00am
PELAKON, Arash Mohamad, menggesa bakat baharu dalam lakonan berusaha menambah ilmu. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

'Jangan main telefon bila masuk ke set penggambaran'

KUALA LUMPUR: Aktor berpengalaman, Arash Mohamad, menggesa pelakon baharu supaya lebih serius apabila menceburi bidang terbabit dan sentiasa berusaha meningkat kemampuan diri.

Harapannya juga, mereka yang masih hijau dalam arena lakonan tidak muncul di lokasi penggambaran dengan tangan kosong, malah tak mengenali watak lakonan sendiri.

“Kalau masuk set penggambaran, jangan main telefon bimbit, tetapi carilah ilmu. Jangan segan masuk kelas lakonan. Keluarkan sedikit belanja untuk menimba ilmu kerana seni ini tidak ternilai.

“Hargailah bakat dan peluang yang ada. Dahulu, saya juga belajar bertanya kepada pelakon senior dan menjadikan mereka sebagai kawan. Kami saling hormat menghormati. Jika pengarah memberikan arahan pula, kita kena fokus. Bukannya masa masuk ke set penggambaran, waktu itulah baru nak menghadap skrip.

“Ilmu takkan datang dengan sendiri. Ia perlu digali seperti yang sering dilaung dan dipegang oleh pelakon, Ogy Ahmad Daud,” katanya ketika berkongsi luahan di laman Facebooknya, baru-baru ini, berhubung sikap segelintir artis baharu yang tidak serius apabila membuat keputusan menjadikan bidang lakonan sebagai kerjaya.

Arash, 50, yang lebih dua dekad bergelar pelakon berkata, artis baharu juga tidak seharusnya memberikan tumpuan kepada jumlah pengikut di laman sosial.

“Jumlah pengikut bukan ukuran kita sudah bagus. Pengikut laman sosial mungkin nak tengok gaya hidup atau aktiviti artis sahaja, tetapi kalau hasil seni kosong, tiada maknanya. Apabila kena hentam mulalah nak meroyan,” katanya yang baru sahaja menyelesaikan penggambaran drama, Bukan Salahku, arahan Yusry Abdul Halim, untuk siaran sebuah saluran berbayar.

Tambahnya, apabila menjadi artis, mereka juga harus menjaga maruah dan disiplin diri, selain menghormati seluruh tenaga produksi seperti keluarga sendiri.

“Tak kiralah apa posisi mereka sekalipun, sikap hormat perlu ada dalam diri. Tanpa pasukan produksi, kita bukan sesiapa. Jadikan bidang seni ini sebagai pekerjaan profesional, bukannya untuk mengejar glamor atau populariti,” katanya sambil mengakui terus berusaha menambah ilmu dalam bidang itu, sehingga ke hari ini.

Berita Harian X