Jumaat, 4 Oktober 2019 | 9:05am
PELAKON, Nad Zainal, teruja dan gementar untuk melakonkan watak tokoh disegani, Tun Dr Siti Hasmah. - Foto ihsan Nad Zainal

Nad teruja, gementar lakon watak Dr Siti Hasmah

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nad Zainal, mengakui perasaannya bercampur baur antara teruja dan gementar apabila diamanahkan untuk menghidupkan watak Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dalam filem biografi serta percintaan, Hasmah Bila Deh Bertemu Det.

Dalam karya terbitan Tune Production itu, Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 29, akan bergandingan dengan Hasnul Rahmat yang berlakon sebagai Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sidang media mengumumkan pengarah dan barisan pelakon filem yang akan memulakan penggambaran pada 2020 itu bakal diadakan 7 Oktober ini.

“Jujurnya, saya sangat teruja dan pada masa gementar apabila dihulurkan peluang memegang watak tokoh cukup disayangi ramai ini. Saya sendiri sudah lama menantikan peluang berlakon filem biografi, tetapi tak sangka pula bakal memegang watak wanita yang amat disegani.

“Secara peribadi, saya sendiri begitu menghormati dan mengagumi ketokohan isteri Perdana Menteri kita,” katanya kepada BH Online.


NAD akan bergandingan dengan Hasnul Rahmat dalam filem, Hasmah Bila Deh Bertemu Det. - Foto ihsan Nad Zainal

Ketika ini, aura Dr Siti Hasmah bagai sudah menyerap dalam diri pemenang Pelakon Drama Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2018 itu.

“Pada waktu senggang, saya akan menonton video wawancara bersama beliau di internet. Malah, sejak sebulan lalu juga, saya mengikuti kelas bermain biola demi menjayakan watak terbabit. Seperti diketahui umum, beliau memang berkebolehan memainkan alat muzik itu,” katanya.

Pada masa sama, isteri kepada Muhammad Faliq Amirudin ini juga bakal muncul dalam pementasan teater Makyung Raja Besar Maha Gading, bermula 11 hingga 13 Oktober ini, di Panggung Sari, Istana Budaya.

Teater tradisional itu turut menampilkan pelakon seperti Rosnan Rahmat, Naque Ariffin, Izzue Islam dan ramai lagi. Dalam pementasan berkenaan, Nad memegang watak utama sebagai Raja Bongsu yang dianiaya adik-beradik sendiri kerana berebutkan takhta.

“Ia bukan teater makyung pertama lakonan saya. Ketika masih Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), saya juga pernah menjayakan persembahan makyung.

“Cuma, persembahan kali ini akan menyaksikan saya buat julung kali menyanyi di pentas Istana Budaya,” katanya.

Berita Harian X