Jumaat, 4 Oktober 2019 | 6:57pm
ABBY Abadi bersama suami dan anak mereka pada sebuah majlis di Hulu Klang, April lalu. - NSTP/Eizari Shamsudin
ABBY Abadi bersama suami dan anak mereka pada sebuah majlis di Hulu Klang, April lalu. - NSTP/Eizari Shamsudin

Anak Abby Abadi kini stabil

KUALA LUMPUR: Keadaan bayi pramatang Abby Abadi yang berada dalam kritikal, kelmarin, berikutan masalah pendarahan paru-paru kini stabil.

Begitupun, si kecil yang dilahirkan dengan berat 535 gram itu masih ditempatkan di Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU), Hospital Sungai Buloh.

Suami pelakon itu, Faizal Zakaria, berkata doktor memaklumkan, perkembangan kesihatan anak lelaki mereka semakin memberangsangkan.

“Pagi tadi, Abah dan Mama ke NICU menghantar susu. Sempat berbual-bual dengan doktor. Baby Danial ada peningkatan positif, (dan) pendarahan paru-paru pun sudah tiada.

“Syukur sangat Allah Maha Mendengar semua doa mereka yang sayangkan Baby Danial. Malam ini, insya-Allah Abah datang jumpa Baby lagi.

“Abah rindukan Baby Danial. Moga Baby terus sihat, terus kuat. Ramai yang tak sabar nak jumpa Baby,” katanya menerusi perkongsian di Instagram, semalam.

Sementara itu, dalam perkongsian sama, Faizal turut mendedahkan nama anak mereka iaitu Muhammad Danial Firman Faizal.

Terdahulu, Abby selamat melahirkan bayi lelaki itu pada 27 September lalu secara pembedahan selepas mengalami ‘turun darah’ disebabkan tekanan darah tinggi.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada pada 14 Ogos 2015 turut mempunyai dua anak angkat, Muhammad Daiyan Fayyad dan Maisara Dayana Fathia.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Abby dikurniakan tiga cahaya mata, Mohamed Danish Hakim, 16, Marissa Dania Hakim, 14 dan Maria Danisha Hakim, 11.

Berita Harian X