Isnin, 7 Oktober 2019 | 12:26am
Han Byul (tengah) bersama Neeta (kanan) dan Adzrin (kiri) menunjukkan trofi yang dimenangi pada peringkat akhir Big Stage 2019 di Auditorium MBSA, Shah Alam. - NSTP/Sairien Nafis

Han Byul juara Big Stage 2019

SHAH ALAM: Seperti dijangka peserta 'favourite' Han Byul, 29, muncul juara Big Stage 2019 yang berakhir di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, malam tadi.

Kemenangan Han yang berasal dari Korea Selatan membolehkannya membawa pulang wang tunai RM100,000, sebuah kereta, telefon bimbit dan trofi.

Naib Juara yang menawarkan hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi pula disandang peserta Kedah, Neeta Manisha, 25, yang dianggap antara pesaing konsisten dalam musim kedua program realiti itu.


Han Byul dinobat juara Big Stage 2019 di Auditorium MBSA, Shah Alam. - NSTP/Sairien Nafis

Anak jati Kuala Lumpur, Adzrin, 19, pula diumumkan pemenang tempat ketiga dan meraih hadiah wang tunai RM25,000 serta trofil.

Tempat keempat menjadi milik penyanyi remaja  Irfan Haris, 18, manakala finalis terakhir, Dinda Permata, 27, mendapat tempat kelima.

Konsert akhir Big Stage 2019 yang dihoskan Alif Satar dan Sherry Al Hadad menampilkan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Cakra Khan dan Misha Omar sebagai juri.

Penonton disajikan dengan persembahan Siti Nurhaliza yang menyampaikan lagu Seribu Kemanisan dan Kesilapanku. Cakra turut menghiburkan penonton dengan lagu Kekasih Bayangan dan Harus Terpisah.

Berita Harian X