Selasa, 8 Oktober 2019 | 9:00am
Haqiem tidak menyangka lagu Luka dan Bahagia yang dicipta dalam tempoh 10 minit diterima ramai malah trending di media sosial. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman

'Lagu siap 10 minit'

KUALA LUMPUR: Trending pada hari pertama dilancarkan, lagu Luka dan Bahagia ciptaan Haqiem Rusli sebenarnya siap dalam tempoh 10 minit.

Mendedahkan perkara itu, Haqiem berkata, lagu yang dicipta khas untuk juara Big Stage 2019, Han Byul, mencetuskan minat baharu dalam kalangan pendengar muzik.

“Single Luka dan Bahagia saya siapkan dalam tempoh 10 minit. Cuma liriknya sahaja mengambil sedikit masa.

“Lagu ini adalah mengenai cinta. Kalau difahami bait liriknya, ia bukan cinta biasa kerana ada nasihat terselit dalam lagu ini.

“Karya ini berkisar bagaimana seorang lelaki ditinggalkan wanita dicintai kerana situasi melanda. Pada suatu ketika, apabila lelaki itu sudah berjaya, wanita itu datang menagih cintanya,” katanya kepada BH Online.

Haqiem berkata, pengajaran yang cuba diselitkan dalam lagu berkenaan adalah jangan dipandang rendah insan yang tidak berkemampuan terutama dalam aspek kewangan.

“Ini kerana berkat usaha, individu terbabit boleh berjaya menjadi insan lebih baik,” katanya.

Mengenai kelainan yang ditampilkan dalam single berkenaan, Haqiem berkata, dia berbincang dengan Han Byul untuk memasukkan elemen Korea dalam lagu terbabit.

Haqiem berkata, idea untuk bekerjasama dengan penyanyi Korea Selatan itu timbul selepas diundang menjayakan segmen persembahan duet bersama salah seorang peserta Big Stage 2019.

“Ketika sesi latihan, saya beramah mesra dengan semua peserta. Saya turut menyapa Han Byul dan kemudian didekati pengurusnya.

“Tanpa diduga, pengurusnya meminta saya mencipta lagu Han Byul. Selepas berbincang, termeterailah kerjasama ini,” katanya.

Haqiem berkata, dia tidak percaya lagu Luka dan Bahagia menjadi trending.

“Saya cipta lagu ini tanpa meletakkan harapan tinggi. Lagu ini istimewa kerana dinyanyikan artis Korea dalam bahasa Melayu dan diterima ramai,” katanya.

Ditanya kemungkinan menerbitkan lagu berkenaan dalam versi bahasa Korea, Haqiem tidak menolak idea berkenaan.

“Memang ramai yang meminta lagu itu diterjemahkan ke dalam bahasa Korea. Saya akan berusaha melakukannya. Kalau jadi, saya akan kongsi dengan semua,” katanya.

Haqiem aktif mencipta lagu untuk teman artis antaranya Pesan nyanyian Irfan Haris, Tersiksa (Putera Band), Aku Sendiri (Sufi Rashid), Aku Yang Bersalah (Usop), Kenangan (Zack Zakwan) dan Ibu (Tajul).

Berita Harian X