Jumaat, 11 Oktober 2019 | 10:04pm
Jamal dan Izzati menyambut kelahiran puteri sulung mereka, petang semalam. Bayi seberat 2.7 kilogram yang dilahirkan di sebuah pusat perubatan di Shah Alam, diberi nama Nur Azura Yamani. Foto NSTP Rosela Ismail

Jamal dapat 'baby girl'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah bersyukur isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin selamat melahirkan anak perempuan yang diberi nama, Nur Azura Yamani, petang semalam.

Jamal, 60, memberitahu, Izzati, 25, melahirkan bayi mereka menerusi pembedahan.

“Kalau diikutkan, lagi lapan hari anak saya dilahirkan. Namun, disebabkan air ketuban makin berkurangan, anak saya kurang bergerak dalam perut.

“Jadi doktor meminta saya memilih sama ada menunggu atau melakukan pembedahan. Disebabkan tidak mahu mengambil risiko, saya pilih pembedahan.

“Syukur alhamdulillah, semuanya lancar. Anak dan isteri saya sihat,” katanya kepada BH Online.

Nur Azura seberat 2.7 kilogram selamat dilahirkan di sebuah pusat perubatan swasta di Shah Alam, pada jam 5.23 petang semalam.

Jamal bersyukur selepas dua tahun menanti, mereka dikurniakan anak perempuan.

“Alhamdulillah. Bukan saya sahaja gembira, anak-anak saya terutama Osama teruja dengan kelahiran Nur Azura. Iyalah, selepas dua tahun lebih kami menunggu, baru sekarang dikurniakan,” katanya.

Namun, Jamal berkata, tanggungjawabnya semakin bertambah.

“Insya-Allah, saya akan mendidik Nur Azura dengan baik,” katanya.

Jamal berkahwin dengan Zai Izzati pada 1 April 2017.

Melalui perkahwinan lalu, Jamal dikurniakan dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13.

Berita Harian X