Sabtu, 12 Oktober 2019 | 1:00pm
Fizo menghentikan operasi restoran yang diusahakan bersama Mawar selepas berbincang dengan bekas isterinya itu. Fizo dan Mawar bercerai talak satu pada 1 Julai lalu. Sepanjang perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Wan Maryam, berusia dua tahun.

Fizo, Mawar tutup restoran

KUALA LUMPUR: Tidak lagi hidup bersama, Fizo Omar dan bekas isteri, Mawar Abdul Karim sepakat menghentikan operasi restoran Fizomawar Kitchen (FMK) di Bangi, Selangor dan Kota Bharu, Kelantan, mulai akhir bulan ini.

Biarpun berat hati, Fizo memberitahu, persetujuan dicapai antara dirinya dan Mawar, malah penutupan restoran yang menyajikan juadah Thailand itu dianggap penyelesaian terbaik.

“Ramai menunggu pengumuman saya... Berat untuk membuat keputusan ini. Tetapi selepas berfikir dan berbincang, inilah yang terbaik.

“Saya dan Mawar bersetuju menghentikan operasi FMK pada 27 Oktober depan,” katanya yang membuat pengumuman itu di saluran YouTube, Fizo Channel.

FMK memulakan operasinya pada 2015.

Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Omar, 34, berkata, sejak dibuka, kira-kira 300,000 pelanggan berkunjung ke restorannya yang dibuka sebagai hadiah kepada Mawar dan ibu.

“Kebanyakan juadah disediakan adalah kegemaran Mawar dan ibu. Malah, saya pergi ke Thailand untuk belajar memasak dan mencari menu sesuai.

“Ibu juga mengajar pekerja menyediakan makanan kerana dia berasal dari Thailand. Banyak kenangan, usaha dan modal dilaburkan untuk restoran itu,” katanya.

Fizo berkata, ramai kenalan dan peminat terkejut serta tidak boleh menerima berita penutupan premis berkenaan.

“Ada pelanggan setia mengutus mesej meminta usah ditutup. Apabila jadi begini, macam-macam perasaan datang,” katanya.

Bagaimanapun, Fizo berkata, sejak mula beroperasi, FMK menjadi tempat bagi kira-kira 100 pekerja mencari rezeki.

“Sepanjang tempoh itu, kami dapat berkongsi rezeki dengan mereka,” katanya yang bercadang majlis istimewa bersama pelanggan tetap dan peminat di premis terbabit, akhir bulan ini.

Fizo dan Mawar yang mendirikan rumah tangga pada November 2013, bercerai talak satu pada 10 Julai lalu. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Maryam berusia dua tahun.

Berita Harian X