Ahad, 13 Oktober 2019 | 4:17pm
SHAHIR tiada masalah bekerjasama dengan Erra biarpun antara mereka sudah tiada apa-apa ikatan. Foto Ihsan Neon Pixel dan Strumhit

'Takkan berlakon bersama pun jadi isu?'

KUALA LUMPUR: “Tidak salah saya memberikan sokongan kerana kami berada dalam bidang yang sama. Takkan berlakon bersama pun jadi isu?,” demikian kata juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir Zawawi.

Mengulas kemunculannya dalam video muzik single terbaru bekas kekasihnya, Erra Fazira iaitu Menangkah Cinta, Shahir berkata, mereka tiada masalah bekerjasama, biarpun sudah tiada apa-apa ikatan.

Namun akui Shahir, pada mulanya, dia agak keberatan memberikan kata persetujuan.

Bukan kerana bimbang kisah hubungan cinta tidak kesampaian mereka kembali dibangkitkan, sebaliknya dia risaukan perubahan susuk tubuhnya yang semakin berisi.

“Erra menghubungi saya pada 4 September lalu dan menyuarakan hasrat mengundang saya tampil saya dalam video muzik terbarunya. Saya tidak terus memberikan kata persetujuan kerana hati masih berbelah bahagi.

“Saya belum bersedia, malah tidak selesa beraksi depan kamera kerana pertambahan berat badan. Bimbang juga jika kemunculan saya itu hanya merosakkan video muzik terbabit.

“Berulang kali perkara itu ditanyakan kepada Erra, tetapi dia terus meyakinkan saya hingga akhirnya saya bersetuju membuat kemunculan,” katanya.


SHAHIR dan Erra dalam satu babak video muzik Menangkah Cinta. Foto Ihsan Neon Pixel dan Strumhit

Penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu berkata, dia hanya mempunyai seminggu membuat persediaan, termasuk menurunkan sedikit berat badannya sebelum ke lokasi penggambaran video muzik arahan Hafiz Hamidun itu.

“Sepanjang seminggu itu, saya banyak bersenam, selain menjaga diet supaya tampil selesa pada hari penggambaran,” katanya.

Terdahulu, Erra pada 12 Julai lalu, membuat pengakuan hubungannya dengan Shahir sudah terlerai.

Berita Harian X