Isnin, 14 Oktober 2019 | 9:00am
HANEESYA memanfaatkan populariti dan pengaruhnya untuk membanteras gejala buli. Foto Muhd Zaaba Zakeria

Haneesya tekad perangi gejala buli

KUALA LUMPUR: Sering menjadi sasaran cemuhan warganet, membuatkan pelakon baharu, Haneesya Hanee terpanggil melancarkan kempen Say No To Bully & Say No To Cyberbully.

Haneesya, 19, berkata kempen yang digerakkan bersama ibunya, Nor Sakuraneeda itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai supaya berhenti mempersenda kekurangan dan kelemahan insan lain.

“Semakin hari, saya lihat isu itu semakin serius dan saya juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa apabila terus dibuli, termasuk mempersenda fizikal. Apabila saya berani bersuara, ramai yang mula berkongsi pengalaman masing-masing.

“Saya terfikir, mengapa tidak saya manfaatkan pengaruh dan platform yang ada untuk sesuatu yang berfaedah. Saya lakukan ini bukan semata-mata untuk diri, sebaliknya ia adalah tanggungjawab sosial saya sebagai selebriti.

“Ia secara tidak langsung membuka mata umum terhadap peranan selebriti kerana kami juga mampu menyumbang sesuatu untuk kesejahteraan masyarakat,” katanya.


HANEESYA bersama kelab peminatnya pada majlis pelancaran kempen Say No To Bully & Say No To CyberBullying. Foto Muhd Zaaba Zakeria

Pelakon dan model yang baru dinobatkan sebagai Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu berkata, dia optimis memerangi masalah itu daripada terus menular dan menjadi barah dalam masyarakat.

“Ini hanya permulaan. Sekalipun usaha ini hanya mampu mengubah mentaliti sejumlah kecil pengikut, ia tidak mematahkan semangat saya. Biar jumlahnya kecil, tetapi impaknya berpanjangan. Itu yang saya harapkan.

“Kempen ini bukan sekadar melepas batok di tangga. Ia akan dijalankan secara berterusan supaya orang ramai memandang serius masalah yang semakin mengganggu ini,” katanya.

Haneesya atau nama lengkapnya Sharifah Haneesya Sayed Sahlan kerap menjadi sasaran kecaman dan sendaan warganet, termasuk isu warna kulit serta tempat dia membesar.

Pelancaran berlangsung di padang kawasan perumahannya di Pudu Ulu, Cheras, serentak majlis doa selamat dan kesyukuran sempena kejayaannya pada ABPBH 32 lalu.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil yang melancarkan kempen itu.

Berita Harian X