Selasa, 15 Oktober 2019 | 9:00am
Selepas beroleh ijazah sarjana, Najwa menetapkan sasaran mencipta sekurang-kurangnya satu lagu setahun. Foto NSTP Hafiz Sohaimi

Najwa menangis siapkan tesis

KUALA LUMPUR: Bukan sedikit cabaran dihadapi penyanyi Najwa Latif bagi melengkapkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Malaya (UM), di sini.

Menerima skrol kelmarin, Najwa mengaku hampir saban hari menangis dalam menyiapkan tesis atau kerja ilmiah.

“Alhamdulillah, lega rasanya apabila impian belajar ke peringkat sarjana tercapai.

“Ini bukan hadiah untuk saya sahaja, sebaliknya, insan-insan di sekeliling. Cuma sayangnya, ibu tiada di sisi kerana dia menjalani ibadat umrah di Makkah.

“Pengajian peringkat sarjana bukanlah mudah. Paling teruk ketika menyiapkan tesis. Hampir setiap hari saya menangis, rasa putus asa dan hendak berhenti belajar.

“Alhamdulillah, saya berjaya menyudahkannya,” katanya kepada BH Online.

Najwa berkata, dia memasang impian melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam jurusan sama.

Namun, penyanyi yang mula popular dengan lagu Cinta Muka Buku itu mahu berehat seketika sebelum meneruskan hajat itu.

Selain itu, tambah Najwa, dia mahu memberi tumpuan kepada kerjaya sebagai pensyarah di di UNITAR International University.

Biarpun masih mahu berkarya, namun bagi Najwa, bidang muzik adalah keutamaan ketiga dalam hidupnya sekarang.

“Pengalaman menjadi pensyarah sejak dua tahun lalu ada macam-macam. Saya juga belajar banyak perkara dengan penuntut yang ada pelbagai jenis ragam dan latar belakang.

“Kerjaya sebagai pensyarah saya jadikan sebagai keutamaan pertama. Ini diikuti pelajaran dan yang ketiga adalah bidang muzik.

“Saya masih menyanyi. Single terbaru, Kau Lupa Itu Aku (KLIA) yang dilancarkan dua bulan lalu sudah meraih lebih sejuta tontonan.

“Tidak lama lagi, saya akan muncul dengan single lain. Insya-Allah, saya akan cuba menghasilkan sekurang-kurangnya satu lagu setahun,” katanya.

Berita Harian X