Selasa, 15 Oktober 2019 | 11:00am
Neeta lali dengan pandangan skeptikal segelintir pihak terhadap dirinya. Foto NSTP Surianie Mohd Hanif

'Usah kecam melulu'

KUALA LUMPUR: Berkulit hitam manis dan fasih bertutur bahasa Melayu memberi kelebihan buat vokalis kumpulan iAmNeeta, Neeta Manisha.

Namun, ada kala, kelebihan yang dimiliki meletakkan gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah berusia 25 tahun itu dalam situasi serba salah.

Berdarah campuran Cina, India dan Siam, Neeta sering dianggap sebagai gadis Melayu serta beragama Islam. Ekoran salah faham itu juga, Neeta menjadi mangsa serangan warganet apabila dikatakan tidak sensitif gara-gara berpakaian seksi dan berpelukan dengan juara Big Stage musim kedua, Han Byul ketika konsert akhir, baru-baru ini.

Bijak menyusun kata-kata, Neeta yang diangkat sebagai naib juara pertandingan itu berkata, dia sudah lali dengan pandangan skeptikal segelintir pihak.

Namun, akui Neeta, dia sedikit kecewa apabila dilemparkan pelbagai komen yang menghiris perasaan, terutama daripada mereka yang tidak memahami kedudukan sebenar.

“Ramai yang melontarkan pelbagai cemuhan, terutama selepas melihat video saya bersama rakan di Big Stage yang dimuat naik di YouTube.

“Saya dikatakan tidak sensitif apabila berpakaian seksi. Membaca pelbagai komen yang ditulis membuatkan saya serba salah.

“Saya tidak mahu peminat berbalah di media sosial. Saya perlu jelaskan perkara sebenar kerana tidak mahu ada pihak salah faham dan terpaksa menanggung dosa kerana ‘menyerang’ saya,” katanya kepada BH Online.

Neeta berkata, dia lebih teruk dihentam gara-gara aksi spontan memeluk Han Byul pada Konsert Akhir Big Stage.

“Saya minta maaf jika ada peminat yang tersinggung. Secara jujur, saya terlalu gembira apabila Han Byul diangkat sebagai juara. Secara kebetulan, penyanyi dari Korea Selatan itu terus memeluk saya apabila namanya diumumkan sebagai juara.

“Hubungan kami sangat rapat sepanjang menyertai program itu. Kami sudah seperti adik-beradik. Sudah menjadi kebiasaan, kami akan berpelukan apabila bertemu sebagai tanda hormat.

“Namun, saya sedar, mungkin ada yang beranggapan perbuatan kami keterlaluan dan tidak manis. Selepas ini, saya akan lebih peka menjaga adab dan batas pergaulan.

“Mungkin bagi kami, perbuatan itu tidak salah, tetapi tidak pada orang lain. Saya harus lebih sensitif dan menjaga reputasi, biarpun saya bukan gadis Melayu,” katanya.

Mengulas kemarahan peminat apabila tidak diangkat sebagai juara, Neeta berkata, dia menghargai semangat yang ditunjukkan pengikutnya.

“Saya terharu dengan kesungguhan mereka yang bersemangat mahu melihat saya muncul juara. Saya hargai sokongan yang diberikan.

“Saya tahu, ramai yang mempertikai apabila penyanyi luar menang. Namun, saya hanya mahu memandang ke hadapan.

“Saya tidak mahu memburukkan lagi keadaan hingga mencetuskan perbalahan di laman sosial. Peminat perlu ingat, biarpun berlangsung di negara ini, tetapi program itu tetap membuka peluang kepada penyanyi luar untuk menyertainya.

“Kita kena terima kenyataan. Han Byul antara pesaing yang sangat hebat. Dia sentiasa konsisten dalam persembahannya. Walaupun menang tipis, saya akur kerana itu sudah rezekinya,” katanya.

Meskipun mengakhiri perjuangan di tempat kedua, Neeta berkata, dia puas kerana penat lelahnya selama lapan minggu memperkenalkan bakat diakui peminat.

“Saya anggap ini sebagai pencapaian terbaik peribadi. Saya harap, semua peminat terbuka menerima ketentuan ini. Tidak perlu gaduh-gaduh,” katanya.

Penyanyi yang mula mendapat perhatian apabila lagu nyanyiannya, Ilusi menjadi lagu tema drama popular, Sweet Dreams itu berkata, Big Stage juga membuka ruang untuk dia mengejar impiannya.

Sebagai penyanyi yang inginkan kepuasan dalam kerjaya, Neeta berkata, dia mahu mencabar diri untuk membawa bakatnya ke tahap lebih tinggi.

Penyertaan dalam Big Stage katanya, menjadi titik permulaan untuk dia terus mengukuhkan nama sebagai penyanyi solo.

“Sebelum ini, saya bergerak bersama kumpulan. Setiap kali beraksi di pentas, saya mendapat tenaga daripada anggota lain.

“Tetapi, di Big Stage, saya sendirian dan perlu membuktikan kesungguhan mengejar impian. Kepercayaan diberikan itu juga memberi ruang untuk saya melihat sejauh mana kemampuan diri.

“Biarpun pada permulaan, agak janggal beraksi solo, saya bersyukur kehadiran diberi perhatian. Sokongan rakan sekumpulan, Anas Zakwan dan Patrick Anohada menjadi pembakar semangat untuk saya membuktikan yang terbaik,” katanya.

Neeta berkata, penyertaannya dalam program itu juga secara tidak langsung, membantu melonjakkan lagi populariti iAmNeeta.

“Penyertaan saya turut membawa bersama misi menaikkan lagi nama iAmNeeta. Saya percaya, kejayaan ini akan memberi impak untuk membantu kami bertiga melangkah dengan lebih yakin,” katanya.

Berita Harian X