Rabu, 16 Oktober 2019 | 9:00am
IZZUE menyifatkan teater Makyung Raja Besar Maha Gading memberikan dimensi baharu dalam kerjaya lakonannya. Foto IG Izzue Islam

Platform Izzue Islam jadi pelakon versatil

KUALA LUMPUR: Peluang menjayakan teater Makyung Raja Besar Maha Gading disifatkan Izzue Islam sebagai peluang terbaik memantapkan namanya sebagai pelakon.

Izzue berkata, teater yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 11 hingga 13 Oktober lalu itu membuatnya berbangga kerana ia menghargai khazanah seni dari negeri kelahirannya, Kelantan.

“Saya memang teruja dapat bermain teater, apatah lagi pementasan ini menuntut saya bertutur dalam loghat Kelantan. Memang saya bangga kerana ia mengangkat khazanah, budaya dan identiti negeri kelahiran.

“Saya berharap, masyarakat terutama generasi muda akan terus menghargai pementasan teater seumpama ini. Jika bukan kita berusaha menjulang dan meletakkannya pada tempat yang terbaik, siapa lagi?,” katanya yang membawakan watak Wak Nujum.

Mengakui puas menjadi sebahagian daripada tenaga yang menggerakkan produksi arahan Rosnan Rahman itu, Izzue berkata, pementasan itu turut menuntut kepekaannya, terutama dari segi penyampaian dan lakonan.

“Saya memang mahu dikenali sebagai pelakon versati, malah tidak teragak-agak mencuba pelbagai karakter untuk menonjolkan kelebihan diri.

“Pementasan makyung ini memberikan saya kepuasan yang sukar diungkapkan. Ia membuatkan saya lebih peka, terutama dari sudut lontaran dialog. Jika tersalah pengucapan, ia mungkin mencacatkan persembahan,” katanya.

Pelakon Harapan Lelaki, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-25 menerusi filem 29 Februari itu berkata, dia terharu apabila peminatnya turut menghargai seni tradisi itu.

Sokongan mereka katanya, amat bermakna kerana ia membantu makyung untuk terus berkembang. Teater itu turut diterajui Rosnan yang memegang watak Raja Besar Maha Gading, selain Nad Zainal, Issey Fazlisham dan Naque Ariffin.

Dalam perkembangan lain, Izzue bakal menyertai percutian bersama peminat ke Okayama, Kyoto dan Osaka, Jepun bermula 21 hingga 26 November ini.

Berita Harian X