Khamis, 17 Oktober 2019 | 9:00am
SWEET mencari watak yang mencerminkan kematangan, seiring peningkatan usia. Foto Aziah Azmee

Sweet Qismina 'penat' jadi budak sekolah

KUALA LUMPUR: Mahu lari daripada bayangan karakter remaja membuatkan pelakon, Sweet Qismina semakin teliti mempertimbangkan tawaran dengan mengutamakan watak bersesuaian usia.

Sweet, 22, yang memulakan langkah dalam bidang lakonan sejak kanak-kanak berkata, keinginan itu memaksanya meletak sasaran lebih jauh sebagai langkah mengukuhkan dirinya menjadi insan seni versatil.

“Setiap orang mempunyai fokus tersendiri dalam kerjaya dan saya juga tidak terkecuali. Saya perlu tampil dengan karakter yang membuatkan orang mahu tengok dan diingati.

“Saya perlu tetapkan sasaran yang ingin dicapai. Namun, saya akui, masih ada yang melihat saya sebagai pelakon remaja. Ia tidak menjadi masalah, cuma pada usia sekarang, saya perlu mencari watak yang membawa saya ke alam dewasa,” katanya.

Pelakon drama Adam Chempaka itu berkata, sehingga ini, dia masih ditawarkan karakter sebagai budak sekolah, namun tidak semua tawaran diterima.

“Ada yang terpaksa saya tolak, tetapi keputusan itu hanya dibuat selepas saya mempertimbangkan pelbagai faktor, termasuk pelakon gandingan.

“Tidak bermakna membawa watak budak sekolah atau remaja kurang mencabar, cuma karakter itu sudah kerap saya lakonkan. Dalam filem terbaru, Pusaka, saya turut berlakon sebagai gadis lepasan sekolah,” katanya.

Dalam filem misteri garapan Razaisyam Rashid itu, penuntut Sarjana Muda Komunikasi Massa itu membawa watak kembar bernama Balqis dan Qistina yang terkurung di sebuah banglo.

Selain Sweet, filem yang bakal menemui penonton pada 31 Oktober ini turut membariskan Syafiq Kyle, Mimi Lana, Fauziah Ahmad Daud, Aliza Shadan dan Faizal Hussein.

Katanya, karakter itu menuntut ketahanan fizikal dan mental, malah Sweet mengakui, pengorbanan berulang-alik ke Perak untuk menyelesaikan penggambaran berbaloi apabila diberikan watak mencabar.

“Tuntutan kuliah memerlukan saya membahagikan masa dengan betul. Saya rela berulang-alik selepas selesai penggambaran jika terikat dengan kelas.

“Bagi saya, ia sudah menjadi tanggungjawab. Saya seronok sepanjang membintangi filem itu kerana berpeluang menimba ilmu bersama nama besar lain di lokasi penggambaran,” katanya.

Berita Harian X