Khamis, 17 Oktober 2019 | 3:37pm
SYAZWAN tidak mahu salah faham terhadap status yang dimuat naik membuatkan dia berdepan masalah dengan stesen TV. Foto Aziah Azmee

'Fahami mesej saya dahulu'

KUALA LUMPUR: “Saya tahu mereka berniat baik, tetapi jangan kerana salah faham itu, saya menghadapi masalah dengan stesen televisyen,” kata pelakon Syazwan Zulkifli.

Pelakon yang popular menerusi watak Apek dalam drama rantaian, Juvana berkata, dia terkejut dikatakan menjadi mangsa sikap pilih kasih stesen televisyen apabila mengutamakan bakat yang memiliki jumlah pengikut ramai di media sosial seperti dilaporkan sebuah artikel.

Mengakui terkejut dengan laporan itu, Syazwan, 32, berkata dakwaan itu tidak benar kerana walaupun tidak banyak, rezekinya dalam bidang lakonan masih berpanjangan.

“Saya dapat tahu mengenainya selepas dimaklumkan pelakon, Adam Shahz yang menghantar artikel itu menerusi aplikasi WhatsApp. Laporan itu menyebut, saya dan Adam tidak mendapat tawaran berlakon kerana tidak mempunyai ramai pengikut di media sosial.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu, malah baru selesai menjalani penggambaran drama untuk siaran RTM. Selepas ini, ada dua lagi drama bersiri yang menanti untuk disiarkan TV3.

“Saya tidak mahu perkara itu membawa masalah dengan stesen TV pada kemudian hari,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah Skrin 2019.

Syazwan sebelum ini, mencetuskan persoalan apabila memuat naik status berbaur sinikal di Facebook apabila menyatakan mahu membeli pengikut jika itu menjadi kriteria stesen TV dalam pemilihan pelakon.

Mengulas lanjut perkara itu, Syazwan berkata, dia tidak bermaksud menyindir mana-mana pihak, sebaliknya menegaskan, ia sekadar luahan jika benar terjadi.

“Perkongsian itu sebenarnya lebih kepada luahan kesal jika perkara itu menjadi amalan dalam pemilihan pelakon. Kalau orang minta kerja, kenalah ada resume yang bagus.

“Takkan cari pelakon hanya bersandarkan kepada jumlah pengikut di laman sosial. Mesti kena cari yang bagus kualiti lakonan mereka. Itu mesej saya sebenarnya,” terang Syazwan.

Berita Harian X