Sabtu, 19 Oktober 2019 | 1:00pm
Lufya mahu aktif semula dalam dunia seni demi masa hadapan diri dan anak. - Foto Eizairi Shamsudin

Lufya mahu aktif semula

KUALA LUMPUR: Lufya mahu kembali aktif dalam bidang lakonan namun meletakkan syarat watak dibawa mestilah sesuai dengan imej dan status diri.

Lufya atau nama sebenarnya, Lutfyah Sheikh Omar enggan menoleh ke belakang, apatah lagi sedang berhadapan krisis rumah tangga. Sebaliknya, dia mahu merancang masa depan diri dan anak, Laana Haura yang berusia dua tahun.

“Cukuplah saya berbicara mengenai hal rumah tangga. Perkongsian dibuat bukan kerana tidak tahu malu, cuma sebagai wanita, saya fikir perlu buka mulut.

“Saya enggan mengeruhkan keadaan yang sudah tegang. Biarlah mahkamah yang menentukan segala-galanya,” katanya kepada BH Online.

Rabu lalu, Lufya tampil ke Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di Petaling Jaya, bagi sebutan kes permohonan cerai dengan suami, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum.

Bagaimanapun, suami Lufya tidak hadir pada sebutan kes permohonan cerai yang difailkan bulan lalu itu.

Berikutan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof menetapkan 18 November depan bagi kedua-dua pihak hadir dan memaklumkan prosiding boleh diteruskan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan Hakam.

Lufya mengaku masih menggemari dunia nyanyian, namun bidang lakonan lebih memberinya rezeki.

“Saya terima sahaja tawaran yang diberi asalkan sesuai dengan imej dan status saya.

“Semoga saya terus istiqomah dengan perubahan diri dan tidak berubah hanya untuk menerima tawaran. Saya percaya Allah sudah menetapkan rezeki setiap individu dan kita perlu percaya,” katanya.

Lufya yang membintangi Mahar Tanpa Cinta mendirikan rumah tangga dengan Dr Che Muhammad Hafiz pada 26 November 2016.

Berita Harian X