Sabtu, 19 Oktober 2019 | 5:25pm
SELAMAT dirisik, Elly bagaimanapun belum bersedia untuk berkongsi identiti bakal suaminya. Foto Ihsan Elly Mazlein
SELAMAT dirisik, Elly bagaimanapun belum bersedia untuk berkongsi identiti bakal suaminya. Foto Ihsan Elly Mazlein

Elly Mazlein teruja dirisik

KUALA LUMPUR: Penyanyi, pelakon dan pengacara, Elly Mazlein mengakui, perasaannya bercampur-baur ketika menerima kunjungan keluarga kekasihnya untuk majlis merisik, hari ini.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 39, berkata, dia terharu dan teruja apabila buat kali pertama merasai pengalaman itu.

“Meskipun acara ini lebih kepada adat, saya dapat rasakan diri ini dihargai kerana belum pernah merasai pengalaman itu.

“Majlis ini diadakan secara kecil-kecilan dan ia memberi ruang kepada keluarga saya serta bakal suami untuk berkenalan dengan lebih dekat.

“Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kepada bakal suami dan keluarganya kerana menerima saya seadanya,” katanya.

Penyanyi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu menjelaskan, majlis itu diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak.

“Insya-Allah, saya akan menjemput wakil media pada majlis pertunangan kami nanti, selain malam berinai yang berkonsepkan Cik Siti Wan Kembang kerana bakal suami berasal dari Kelantan.

“Begitu juga pada majlis akad nikah dan resepsi, saya tidak akan lupa mengundang sebagai menghargai sokongan selama saya berada dalam industri hiburan,” katanya.

Elly turut berkongsi beberapa foto persiapan majlis merisik itu menggunakan tanda pagar #MajlisMerisik dan #MerisikCintaAzlanElly menerusi laman Instagram.

Dia mengenali kekasihnya yang hanya diperkenalkan sebagai Azlan sejak Ogos tahun lalu, namun belum bersedia berkongsi identiti jejaka itu.

Elly sebelum ini pernah berkahwin dengan pengarah, Azmi Hatta pada 9 November 2014 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Putri Sara Sefhia, namun bercerai pada 15 Oktober 2015.

Berita Harian X