Selasa, 22 Oktober 2019 | 5:07pm
ONE II menghembuskan nafas terakhir kerana jangkitan kuman pada paru-paru. Foto IG Datin Emylia Rosnaida

Bekas anggota kumpulan 4U2C, One II meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas anggota kumpulan 4U2C, One II atau nama sebenar Nirwan Siari, 44, meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru di Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 1.30 tengah hari tadi.

Adiknya, Mohd Norezman, berkata Allahyarham yang menghidap penyakit batuk kering dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak dua hari lalu selepas mengadu sesak nafas.

“Dua tahun lalu arwah disahkan menghidap batuk kering dan ia kembali menyerang, baru-baru ini. Doktor sahkan jangkitan sudah merebak ke paru-paru, selain masalah jantung membengkak.

“Tahap kesihatannya semakin menurun hingga terpaksa ditidurkan. Sepanjang dua hari, arwah hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Kami reda kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Allahyarham yang belum berumah tangga bekerja sebagai jurulatih gimnasium. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat, hari ini.

Nirwan menyertai kumpulan rap popular itu pada penghujung 1990-an, selepas empat anggota asal 4U2C iaitu Adik, Yanz, Azam dan Joe mengundurkan diri.

Selain One II, pembentukan barisan baharu yang dilakukan atas inisiatif Datuk AC Mizal itu turut menyaksikan penyertaan tiga anggota lain iaitu Adiex, Aren dan Charlie.

Mereka sempat merakamkan album Kembalilah Fiona sebelum Allahyarham memilih haluan sendiri, selepas dua tahun bersama.

Sementara itu, AC berkata, dia sepatutnya melawat One II sekali lagi, petang ini, namun dikejutkan berita pemergiannya.

“Saya dan isteri sempat menziarahinya di hospital, semalam selepas adik arwah memaklumkan keadaan kesihatannya.

“Sebelum ini, kami masih berhubung, cuma arwah memang pendiam dan tidak pula bercerita mengenai kesihatannya.

“Allahyarham sahabat yang baik, malah sepanjang mengenalinya, beliau sangat menyenangkan,” katanya.

Berita Harian X