Rabu, 23 Oktober 2019 | 5:28pm
ANUAR mengakui serasi dan selesa bekerjasama dengan Dayang Nurfaizah. - NSTP/MAHZIR MAT ISA

Anuar, Dayang mahu rakam lagu duet

KUALA LUMPUR: Serasi setiap kali digandingkan bersama, namun impian penyanyi popular, Anuar Zain untuk merakamkan lagu duet bersama Dayang Nurfaizah masih belum menjadi kenyataan.

Anuar, 49, berkata dia teruja setiap kali diberikan peluang berkongsi pentas dengan Dayang, malah begitu selesa membuat persembahan bersama.

Dia bagaimanapun, berharap keserasian yang tercipta tidak hanya terbatas di pentas, sebaliknya turut menyimpan impian merakamkan lagu duet bersama penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu.

“Sebelum ini, kami sudah ada album rakaman langsung yang menyaksikan saya dan Dayang saling bertukar lagu. Dayang menyanyikan lagu saya, manakala saya pula menyanyikan lagunya.

“Alang-alang mahu menghasilkan single, biarlah usaha kami itu berbaloi. Dahulu mungkin ada masalah kerana kami berlainan label, tetapi apabila masing-masing sudah bergerak sendiri, ia lebih mudah. Insya-Allah, kalau ada rezeki.

“Jika menjadi kenyataan, saya berharap sangat lagu duet kami itu adalah lagu baharu,” ujarnya.

ANUAR dan Dayang ketika beraksi pada Konsert Ketulusan Hati, baru-baru ini. - NSTP/MAHZIR MAT ISA

Kali terakhir bekerjasama menerusi persembahan eksklusif, Anuar Zain & Dayang Nurfaizah One Night Charity Concert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC, enam tahun lalu, mereka kembali dipertemukan pada Konsert Amal Ketulusan Hati, baru-baru ini.

Pada konsert anjuran Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor (YWJ) itu, Anuar menghiburkan tetamu dengan lima lagu iaitu Kau Bunga Cintaku, Cinta Takkan Berakhir, Ketulusan Hati, Lelaki Ini dan Sedetik Lebih.

Dia turut berpadu suara dengan Dayang membawakan lagu Di Pintu Syurga dan Bila Resah. Dayang pula beraksi solo mempersembahkan tiga lagu iaitu Seandainya Masih Ada Cinta, Haram dan Lelaki Teragung.

Sementara itu, Anuar mengakui, turut mengikuti perkembangan muzik semasa, malah kagum dengan kehebatan bakat pelapis, terutama usaha mereka dalam mempromosikan kerjaya menerusi media sosial.

“Setiap kali melihat laman media sosial artis muda, saya kagum dengan pengisian kandungan yang dipaparkan. Mereka begitu serius manfaatkan media sosial untuk mempromosikan hasil kerja.

“Saya pula lebih terarah kepada perkongsian yang tidak mempunyai kaitan dengan kerjaya. Saya kagum dengan kreativiti mereka menarik perhatian peminat.

“Usaha mereka itu memberi saya inspirasi untuk melakukan perkara sama. Lagipun, saya baru setahun aktif menggunakan media sosial.

“Memang dahulu saya pernah terfikir untuk tidak membuka akaun media sosial. Namun, saya harus berlaku adil kepada peminat, malah ia turut memudahkan saya berinteraksi dengan mereka.

“Cuma, kadang-kadang saya kesal melihat sikap segelintir pengikut yang mengeluarkan kata kesat di ruangan komen,” luahnya.

Berita Harian X