Sabtu, 26 Oktober 2019 | 11:01am
PELAKON dan pengacara, Yasmin Hani, pada majlis pelancaran Shopee 11.11 Big Sale bersama Majlis Kanser Nasional Malaysia (MAKNA) di W Kuala Lumpur. - NSTP/Mustafa Kamal
PELAKON dan pengacara, Yasmin Hani, pada majlis pelancaran Shopee 11.11 Big Sale bersama Majlis Kanser Nasional Malaysia (MAKNA) di W Kuala Lumpur. - NSTP/Mustafa Kamal

'Macam nak pengsan tengok Nazril terbaring atas jalan'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Yasmin Hani, akui tidak trauma untuk meneruskan hobi mengayuh basikal biarpun pernah berdepan detik cemas menyaksikan temannya, Nazril Idrus, terbabit dalam kemalangan teruk ketika melakukan aktiviti berkenaan.

Berkongsi pengalaman terbabit, Yasmin yang juga seorang pengacara berkata, ketika Nazril ditemui terbaring atas jalan raya, dia dan suaminya, Sha’arin Mohd Razali, berada di belakang.

“Pada pagi itu, kami berbasikal dan merancang untuk berhenti sarapan. Tiba-tiba, jantung saya berdebar kencang apabila melihat beberapa kenderaan berhenti di hadapan. Dalam hati saya berdoa, semoga kemalangan tidak menimpa sesiapa daripada kami.

“Saya seperti hendak pengsan apabila melihat dia terbaring di atas jalan selepas terjatuh ketika menuruni kawasan bukit. Nasib baik kereta sempat berhenti dan tidak melanggarnya. Saya kemudian menguruskan Nazril untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Apabila berhadapan situasi sedemikian, saya kemudian terpaksa berbasikal sejauh tujuh kilometer untuk sampai ke lokasi teman yang lain. Berat rasa kaki hendak mengayuh, apatah lagi setelah lama berhenti bagi menguruskan Nazril tadi. Insiden itu bagaimana pun tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan aktiviti ini,” katanya kepada BH Online.

Ditemui pada pada majlis pelancaran 11.11 Big Sale Shopee, di sini, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, akibat insiden terbabit, suami Sazzy Falak itu patah tulang selangka dan retak tulang rusuk.

“Saya dimaklumkan, Nazril baru sahaja selesai menjalani pembedahan. Sazzy turut meminta orang ramai mendoakan kesihatan suaminya. Semestinya, Sazzy, yang tidak berada di tempat kejadian, ketika itu, terkejut apabila dimaklumkan mengenai berita kemalangan menimpa Nazril.

“Antara inisiatif kami pula adalah dengan mengambil gambar dan video keadaan Nazril untuk makluman Sazzy,” kata Yasmin yang mula berjinak-jinak dengan aktiviti berbasikal apabila dipelawa suami untuk mencubanya.

Berita Harian X