Isnin, 28 Oktober 2019 | 11:15am
RABECCA tidak ralat melupakan seketika kerjaya lakonan untuk memberi tumpuan pada keluarga. - NSTP/ AZIAH AZMEE

Rabecca pendam rindu demi anak

KUALA LUMPUR: Tidak sampai hati meninggalkan anak terlalu lama membuatkan pelakon, Rabecca Nur Al Islam belum merancang untuk kembali aktif, meskipun masih menerima pelbagai tawaran.

Katanya, dia lebih mengutamakan keluarga dan sanggup mengetepikan dahulu perasaan rindu terhadap kerjaya yang diceburi sejak masih di bangku persekolahan.

“Kalau dilahirkan sebagai anak seni, perasaan rindu untuk kembali ke lokasi penggambaran tetap ada, tambahan pula saya sudah hampir enam tahun menyepi.

“Cuma, buat masa ini, saya belum ada perancangan untuk kembali ke lokasi penggambaran. Lakonan memerlukan komitmen penuh kerana kita bekerja dengan ramai orang.

“Daripada menyulitkan keadaan atau menyusahkan pihak lain, lebih baik saya memberi dahulu tumpuan pada anak dan suami. Memandangkan anak masih kecil dan kami sangat rapat, saya tidak sampai hati tinggalkan mereka,” katanya.

Rabecca berkata, sebagai ibu, dia menghargai peluang melihat anaknya membesar di depan mata.

“Saya pula memang jenis mengutamakan anak, malah kebiasaannya jika mahu ke mana-mana, saya akan membawa mereka bersama-sama,” katanya.

Bintang filem Keramat itu turut mengakui, tiada apa lagi yang ingin dikejar dalam kehidupannya kerana segala-galanya sudah lengkap.

“Saya bersyukur dikurniakan suami yang memahami, malah tidak pernah menghalang saya untuk kembali berlakon. Cuma, saya lebih puas menghabiskan masa bersama keluarga.

“Sepanjang aktif dalam bidang seni, saya banyak diberi peluang meneroka pelbagai cabang, termasuk di pentas teater.

“Sejak di bangku sekolah, saya aktif dengan pementasan teater hingga ditawarkan berlakon di Istana Budaya, seterusnya mendapat peluang mengembangkan bakat dalam drama dan filem.

“Saya sudah menimba pelbagai pengalaman dan saya tidak ralat menyepikan diri seketika untuk memberi tumpuan pada keluarga,” katanya.

Rumah tangga Rabecca bersama Datuk Nor Azam Sulaiman diserikan kehadiran Nor Adam Daniel, 11; Nor Anggun Raverra, 7, Nor Anggerik Renesmee, 6, Nor Aliff Al-Raffael, 3, Nor Ahmat Al-Reaggan, Nor Aurora Riana, 10 bulan, selain dua anak tiri.

Berita Harian X