Selasa, 29 Oktober 2019 | 11:02am
TYA menyifatkan dirinya bertuah dikurniakan suami yang memahami dan sentiasa menyokong kerjayanya. Foto IG Tya Arifin

Tya hargai kepercayaan suami

KUALA LUMPUR: Pelakon kelahiran Palembang, Indonesia Tya Arifin, bersyukur dikurniakan suami yang memahami, malah sentiasa memberikan sokongan padu dalam setiap pekerjaan yang diceburinya.

Tya atau nama sebenarnya Nurtria Wulandari Arifin, 25, berkata walaupun suaminya, Asyraf Khalid bersikap terbuka, itu tidak bermakna dia bebas membuat keputusan dalam setiap tindakannya.

Pelakon Gending Sriwijaya dan Tak Sempurna itu sebaliknya, tidak pernah mengambil kesempatan atas kepercayaan yang diberikan, malah akan terlebih dahulu meminta izin suaminya sebelum memulakan langkah.

“Setiap apa yang saya lakukan, tidak kira dalam bidang perniagaan atau kerjaya seni, saya akan meminta izin suami. Memang dia sentiasa memberi sokongan penuh, tetapi saya tidak pernah mengambil kesempatan atas kepercayaannya.

“Saya begitu terharu dengan kesungguhannya membantu setiap kerja yang dibuat. Contohnya, apabila saya terbabit dalam perniagaan jamu, dia tidak hanya berada di belakang memberikan kata semangat.

“Suami juga banyak mengajar saya menjadi ahli perniagaan yang berkaliber. Sokongan padunya itu membawa banyak perubahan dalam diri saya,” katanya.

Tya dan Asyraf mendirikan rumah tangga pada 1 November 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Arif Jiwa Asyraf , 2, dan Azzahra Jiwa Asyraf, yang kini berusia lima bulan.

TYA berharap filem M.O.X - Misi Operasi X membuka langkahnya untuk mencipta nama di negara ini. Foto IG Tya Arifin

Sementara itu, Tya bakal tampil dalam sebuah filem penyiasatan, M.O.X - Misi Operasi X, menggalas watak sebagai Fifi, kekasih Don Pedro, lakonan Ebi Kornelis.

Produksi arahan Datuk Zulkiflie M Osman itu adalah percubaan pertamanya membintangi filem tempatan dan berharap kemunculannya itu diterima semua.

“Saya bersyukur dapat membintangi filem itu dan menganggap ia sebagai peluang keemasan untuk mengembangkan lagi kerjaya lakonan di negara ini.

“Skrip filem itu yang menggabungkan elemen seperti aksi, penyiasatan dan patriotik membuatkan saya tertarik menerima tawaran yang diberikan. Penggambaran filem ini sudah lama dibuat, sekitar empat tahun lalu.

“Saya harap filem ini membuka laluan untuk saya meneroka lebih banyak peluang sebagai pelakon di sini,” katanya.

Selain Tya, filem itu membariskan pelakon seperti Zaidi Omar, Radhi Khalid, Shareeta Selvaraj dan Adam Shahz.

M.O.X mengisahkan sebuah badan yang diketuai ‘M’, manakala KFR13 pula diketuai Komander Moshie yang menjalankan aktiviti haram dan mempunyai kaitan dengan pertubuhan pengganas antarabangsa yang berpangkalan di Alaska.

Mereka sering melakukan pelbagai ancaman kepada kestabilan dunia. Ketika melaksanakan misi rahsia di Filipina, Don Pedro menyelamatkan seorang penuntut Malaysia iaitu Martias yang berjaya menggodam maklumat perancangan KFR13 dan formula senjata mereka.

Sejak itu, ejen KFR13 sering mengekori Don Pedro untuk menghapuskan bukti dan melakukan pelbagai percubaan membunuh.

Berita Harian X