Khamis, 31 Oktober 2019 | 9:00am
PELAKON, Amyra Rosli, kelihatan ayu dengan imej bertudung ketika menjayakan sebuah program hiburan, baru-baru ini. - Foto Instagram Amyra Rosli
PELAKON, Amyra Rosli, kelihatan ayu dengan imej bertudung ketika menjayakan sebuah program hiburan, baru-baru ini. - Foto Instagram Amyra Rosli

Amyra elak cetus kekeliruan soal penampilan

KUALA LUMPUR: “Terpulang kepada orang ramai di luar sana untuk membuat andaian mereka sendiri berhubung penampilan saya ini. Apa yang pasti, mereka yang mengikut perkembangan saya di media sosial sudah mendapat jawapan masing-masing.”

Demikian kata pelakon, Amyra Rosli, 28, berhubung penampilan terbarunya selepas pulang daripada mengerjakan umrah bersama suami, Amar Baharin, dan anak lelaki mereka, Aqeef Anaqi.

Bintang Nur terbabit juga lebih suka mengambil pendekatan mendiamkan diri kerana enggan merumitkan keadaan dengan sebarang isu, berkaitan penampilan terkininya.

“Saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan mengenai imej ini kerana saya masih belajar. Apatah lagi, saya terikat dengan banyak komitmen kerja. Saya bimbang ia akan menimbulkan kekeliruan, sekali gus merumitkan keadaan pada masa hadapan.

“Malah, Amar sendiri tidak berani memberikan kenyataan berhubung penampilan terbaru saya. Doakan yang baik-baik sahaja buat kami sekeluarga,” kata Amyra kepada BH Online.

Menerusi perkongsian di laman sosial Intagramnya, semalam, Amyra memuat naik beberapa keping foto dirinya mengenakan tudung sewaktu menjadi tetamu sebuah program hiburan.

Penampilannya itu tentu sahaja mendapat perhatian peminat, dengan rata-rata memuji keayuan pelakon terbabit apabila tampil berhijab.

Sementara itu, Amyra turut berkongsi, perjalanan menunaikan ibadat umrah di Tanah Suci Makkah dan Madinah dipermudahkan biarpun kehamilan hampir mencecah tujuh bulan.

Dia dan suami serta anak berada di sana selama 12 hari, bermula 16 Oktober lalu.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan buat kami sekeluarga. Boleh dikatakan saya berjaya menyempurnakan ibadat umrah tanpa bantuan kerusi dan tongkat yang dibawa oleh Amar. Pengalaman berada di Tanah Suci sangat berharga.

“Berat badan saya juga bertambah daripada 42 kepada 47 kilogram sepanjang kehamilan. Saya dilarang oleh suami untuk bekerja, sebaliknya diminta berehat daripada menjalani penggambaran, buat masa ini. Namun, saya masih menerima undangan ke majlis bertemu peminat bagi mempromosikan drama terbaru,” katanya.

Amyra dan Amar mendirikan rumah tangga pada 2016 dan dikurniakan cahaya mata lelaki pada 15 Oktober 2017.

Berita Harian X