Khamis, 31 Oktober 2019 | 1:27pm

'Jangan sampai saya ambil tindakan undang-undang'

PETALING JAYA: Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 40, tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang sengaja menjatuhkan maruahnya dan keluarga di laman sosial.

Katanya, dia perlu bertegas bagi memberi pengajaran kepada individu yang bertindak keterlaluan hingga melupakan adab dan tidak mempedulikan perasaan orang lain.

“Ketegasan pelakon, Jasmin Hamid berdepan individu yang memfitnah anaknya membuka mata ramai, terutama penggiat seni supaya mengambil tindakan sepatutnya.

“Sudah tiba masa saya juga bertindak lebih tegas dengan sikap segelintir warganet yang keterlaluan menulis komen di laman sosial.

“Ia sebagai pengajaran supaya mereka tidak menggunakan media sosial sebagai saluran mengaibkan orang lain.

“Selama ini, saya hanya berdiam diri atau menyekat akaun individu yang tiada adab. Selepas ini, saya akan gunakan saluran undang-undang jika mereka melampaui batas,” katanya.

Siti berkata demikian selepas pelancaran kempen SimplySiti Di Hati 2019 bersama Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) yang bertujuan mengumpul dana bagi membantu lima kanak-kanak yang menghidap masalah jantung.

Penyanyi Anta Permana itu mengulas isu terbabit, susulan kenyataan dikeluarkan pengurusnya, Rozi Abdul Razak yang mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas pengguna media sosial tidak beretika.


SITI pada sidang media majlis pelancaran kempen Simplysiti di Hati 2019. - NSTP/Aziah Azmee

Sementara itu, mengenai kempen yang dilaksanakan sepanjang November dan Disember ini, Siti berkata, mereka menyasarkan kutipan dana RM70,000 bagi menampung kos pembedahan kelima-lima pesakit itu.

Sejak direalisasikan pada 2011, kerjasama itu berjaya mengumpul dana lebih RM200,000 untuk tabung Yayasan IJN dan sudah membantu 14 kanak-kanak pesakit jantung.

Pada acara sama, Siti turut melancarkan single terbarunya, Terang ciptaan kompser Aubrey Suwito, manakala lirik ditulis Shah Shamsiri sebagai lagu tema kempen SimplySiti Di Hati 2019.

SITI mahu lebih bertegas terhadap individu yang sengaja mengaibkan dirinya dan keluarga di laman sosial. - NSTP/Aziah Azmee
Berita Harian X