Jumaat, 1 November 2019 | 11:03am
PELAKON, Amar Baharin, bakal menyambut kelahiran anak kedua, tidak lama lagi. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Amar tak nak tahu jantina anak

KUALA LUMPUR: Pelakon, Amar Baharin, memilih untuk tidak mengetahui jantina cahaya mata keduanya sehingga pengumuman sempena majlis ‘baby shower’ diadakan, bulan depan.

Amar menjelaskan, penantian itu lebih berharga biarpun isterinya, Amyra Rosli, sudah mengetahui jantina zuriat kedua mereka sejak dua bulan lalu.

“Sama seperti cahaya mata sulung dahulu, saya memilih untuk tidak mengetahui jantina anak sehinggalah majlis ‘baby shower’. Penantian itu membuatkan berita terbabit lebih bermakna. Walaupun pasti teruja untuk mengetahuinya, biarlah saya tunggu sehingga Disember.

“Amyra sendiri kelihatan seperti tidak sabar untuk berkongsi mengenai perkara itu, namun dia pendamkan sahaja. Hendak berkongsi dengan Anaqi pun tidak boleh kerana dia juga sudah pandai bercakap.

“Saya tidak kisah sama ada lelaki atau perempuan kerana apa yang penting, Amyra dan bayi dalam kandungannya berada dalam keadaan baik,” katanya kepada BH Online.

Amar dan Amyra mendirikan rumah tangga pada 2016 dan dikurniakan anak sulung, Aqeef Anaqi, pada 15 Oktober 2017.

Sebelum ini, Amar berkongsi berita gembira bakal menyambut anak kedua dengan memuat naik foto isterinya bersama alat ujian kehamilan di Instagram, Julai lalu.

Dia menyifatkan berita kehamilan itu sebagai hadiah paling bermakna sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-34.

Sementara itu, berkongsi pengalaman menunaikan umrah bersama Amyra dan anak mereka, baru-baru ini, Amar sukar mengungkapkan detik indah berkenaan dengan kata-kata.

“Alhamdulillah, ibadat umrah kami berjalan dengan lancar. Kami berada di Makkah selama tujuh hari dan lima hari lagi di Madinah.

“Saya turut membawakan tongkat dan kerusi sebagai persediaan sekiranya Amyra memerlukan bantuan untuk beribadat. Hendak dijadikan cerita, tongkat dan kerusi itu hilang dalam jagaan. Namun, urusan Amyra di Tanah Suci dipermudahkan.

“Betul kata orang, jika Allah kata mudah, maka mudahlah segala urusan di sana. Walaupun usia kandungan hampir tujuh bulan, dia mempunyai tenaga seperti orang biasa,” katanya.

Amar juga menganggap peluang mengerjakan umrah bersama keluarga pada usia muda sebagai tuah.

“Kami turut menjayakan penggambaran program lapan episod, yang berkongsi pengalaman ibu bapa membawa anak kecil ke Tanah Suci. Ia bagi mengubah persepsi mereka yang bimbang urusan ibadat terganggu dengan kehadiran anak kecil,” kata Amar.

Berita Harian X